JIM gempur 'port' santai warga asing di Klang, ada yang terjun bas

JIM gempur 'port' santai warga asing di Klang, ada yang terjun bas

hafidzul@hmetro.com.my

Klang: Panik melihat kelibat anggota Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), segelintir warga asing yang sedang bersantai di ‘port’ tumpuan mereka di pusat bandar di sini lari lintang pukang termasuk nekad melompat keluar dari bas demi mengelak daripada dicekup dalam satu operasi hari ini.

Suasana kelam-kabut itu tercetus ketika kawasan yang lebih dikenali sebagai ‘Bus Stand Klang’ itu digempur penguat kuasa imigresen jam 12 tengah hari.

Difahamkan, dalam operasi bersepadu yang digerakkan JIM Selangor dengan kerjasama JIM Putrajaya itu, lebih 1,000 warga asing pelbagai warganegara diperiksa.

Tinjauan di lokasi mendapati suasana bertukar riuh dan cemas apabila ada pendatang asing tanpa izin (PATI) bertempiaran lari dan cuba bersembunyi di celah-celah bangunan kedai berhampiran.

Bagaimanapun, tindakan pantas anggota operasi mengepung kawasan terbabit lebih awal berjaya mematahkan cubaan mereka untuk meloloskan diri.

Semua warga asing yang diperiksa disaring bagi memastikan mereka memiliki dokumen perjalanan dan pas lawatan kerja yang sah.

Sementara itu, seorang peniaga yang enggan dikenali berkata, kawasan pusat perniagaan ini sentiasa menjadi tumpuan warga asing pada hujung minggu.

“Mereka menjadikan kawasan sebagai tempat melepak dan membeli belah barangan negara asal.

“Kadang-kadang sering juga buat kotor, mereka akan makan sireh dan buang lebihan sireh di tepi kaki lima, lama-lama kawasan ini mula berbau busuk,” katanya.

Pemerhatian mendapati kawasan ini menjadi tumpuan warga Bangladesh, Myanmar dan Nepal.

Difahamkan, satu sidang media oleh Ketua Pengarah Imigresen akan diadakan esok berhubung operasi dan tangkapan ini.

Semua individu yang ditahan disiasat Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tinggal lebih masa dan Seksyen 6(1)(c) akta sama kerana tidak memiliki dokumen perjalanan atau pas yang sah.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top