Washington: Seorang lelaki menerima balasan serta-merta apabila lori miliknya dilarikan individu lain ketika dia sibuk merompak sebuah kedai Verizon di negeri Maryland, Amerika Syarikat, lapor NDTV.
Kejadian berlaku pada 25 Jun di Ellicott City membabitkan suspek yang dikenal pasti sebagai Jalen Godard, 29, yang terserempak dengan seorang pegawai polis di luar kedai 7-11 sebelum mendakwa lorinya dilarikan ketika dia berada di McDonald’s.
Pegawai polis bernama Buchanan itu beberapa minit sebelum itu bertindak balas terhadap laporan pecah rumah di sebuah kedai Verizon yang terletak berhampiran, dan menemukan tingkap premis yang pecah dengan kesan darah.
Rangkaian kejadian itu menyebabkan Buchanan meminta untuk memeriksa tangan Godard sebelum mendakwa menemukan kesan darah pada tangan serta cermin mata suspek.
Berdasarkan rakaman kamera badan yang dimuat naik di media sosial oleh Jabatan Polis Daerah Howard, Buchanan kemudian segera menarik tangan Godard ke belakang lalu menggari lelaki itu.
“Saya tidak berada di mana-mana kedai Verizon, tuan. Saya bersumpah demi Tuhan,” rayu Godard. Namun, Buchanan membalas: “Penipuan kamu sudah berakhir”.
Rakaman video itu kemudiannya dipotong sebelum memaparkan Godard meluahkan rasa tidak percaya selepas menyedari lorinya benar-benar dilarikan.
Godard kini berdepan pertuduhan pecah amanah darjah kedua, mencuri dan merosakkan harta benda berkaitan kejadian pecah masuk di kedai berkenaan.
Ini bukan kes pertama membabitkan penjenayah yang menerima balasan secara serta-merta susulan tindakan mereka dalam tempoh kebelakangan ini.
Bulan lalu, seorang lelaki di Alabama dilaporkan meninggal dunia akibat serangan jantung ketika cuba melupuskan mayat teman wanitanya selepas membunuh wanita berkenaan.
Daniel Robbins, 44, didakwa menjerut Jessi Folds, 47, hingga mati dalam kejadian pembunuhan ngeri sebelum cuba membuang mayat mangsa di Lanett, Alabama, kira-kira 128 kilometer di timur laut Montgomery.
Pihak berkuasa menemukan Robbins dan Folds dalam keadaan tidak bernyawa bersebelahan antara satu sama lain, manakala sebuah kenderaan ditemui ditinggalkan berhampiran lokasi kejadian.
Penyiasat mengesyaki Robbins membunuh Folds dalam satu kejadian keganasan rumah tangga yang dipercayai berlaku pada malam sebelumnya berdasarkan keadaan enjin kenderaan yang masih hidup ketika pihak berkuasa tiba di tempat kejadian.
© New Straits Times Press (M) Bhd




