Ellie bantu M Jamil atas dasar simpati nasib teman artis

Ellie bantu M Jamil atas dasar simpati nasib teman artis

Kuala Lumpur : Atas dasar simpati terhadap teman seperjuangan yang berdepan kesulitan hidup, Ellie Suriaty tidak berfikir panjang menghulurkan bantuan kepada pelakon dan pengarah veteran, M Jamil.

Ellie mendapatkan seorang pembantu yang mempunyai latar belakang perubatan bagi menguruskan M Jamil yang mengalami kesukaran bergerak susulan komplikasi strok dan kencing manis.

Ellie berkata, biarpun tidak dapat bersama ketika M Jamil hadir ke Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur, Selayang bagi menjalani perbicaraan perceraian bersama isterinya, Shahrila Markom, baru-baru ini, dia tetap memberi sokongan dengan cara tersendiri.

“Jamil adalah ‘senior’ saya dalam industri kreatif. Apabila dimaklumkan dia sakit dan mengalami kesukaran bergerak, saya terus dapatkan pembantu yang mempunyai latar belakang perubatan untuk menjaganya.

“Itu cara saya memberi sokongan moral kepada rakan dalam industri seni. Cuma saya sendiri tidak dapat berada di sana (mahkamah). Itu adalah sekurang-kurangnya yang mampu saya lakukan sebagai tanda keprihatinan,” katanya kepada BH Online.

Ellie berkata, sebagai anak seni, mereka mungkin sering berdepan pelbagai tanggapan masyarakat, namun, percaya masing-masing ada sumbangan besar melalui karya yang dihasilkan.

“Walaupun pekerjaan kita ini kadang-kadang dicemuh ramai orang, apa juga keadaannya, kita tetap beri sumbangan kepada masyarakat melalui karya yang dihasilkan.

“Walaupun karya itu sudah berpuluh-puluh tahun usianya, ia tetap meninggalkan kesan kepada orang ramai. Sebab itu saya menghargai seniwati Datuk Sarimah Ahmad (ibu M Jamil) dan M Jamil,” katanya.

Mengulas lanjut, Ellie berkata, dia akan membantu M Jamil menerima rawatan sewajarnya apabila diperlukan.

Bagaimanapun, Ellie menyifatkan peranan ahli keluarga terutama anak-anak M Jamil tetap menjadi keutamaan dalam menguruskan kebajikannya.

“Ada ketikanya saya hantar pembantu ke rumah untuk merawat luka akibat kencing manis yang dialaminya. Saya juga meminta pembantu membawanya ke hospital.

“Bagaimanapun, sudah tentu peranan anak-anaknya lebih utama,” katanya.

Bagaimanapun, Ellie berkata, bukanlah niatnya menghebahkan bantuan dihulur kepada M Jamil.

“Saya tidak mengharapkan perkara itu diuar-uarkan. Kadang-kadang, apa yang kita lakukan secara diam-diam itu lebih baik,” katanya.

M Jamil yang mengalami strok sejak lapan tahun lalu termasuk berdepan komplikasi kencing manis sehingga jari kelingking pada kaki kirinya terpaksa dipotong, hadir ke Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur, baru-baru ini. M Jamil menghadapi perbicaraan tuntutan cerai oleh isterinya.

Ketika itu, M Jamil dibantu seorang wanita yang ditugaskan Ellie bagi melancarkan urusan termasuk memantau keadaan kesihatan artis veteran itu.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top