Arlington: Perancis dan Sepanyol bakal mencuri tumpuan apabila dua kuasa besar bola sepak Eropah itu bertemu pada aksi separuh akhir Piala Dunia 2026, Selasa ini.
Perancis memburu penampilan final Piala Dunia ketiga berturut-turut, manakala Sepanyol pula masih memburu kejuaraan dunia pertama sejak 2010 selepas kejayaan menjuarai Euro 2024.
Menjelang pertembungan dua gergasi itu, AFP Sport mengimbas lima pertemuan klasik antara Perancis dan Sepanyol yang pernah mencipta sejarah tersendiri.
Final Euro 1984: Perancis 2 Sepanyol 0
Pertemuan kompetitif pertama antara kedua-dua negara berlaku pada final Euro 1984 di Paris apabila Perancis menjulang trofi utama pertama dalam sejarah mereka.
Aksi di Parc des Princes itu menyaksikan kapten Perancis, Michel Platini menjadi watak utama selepas sepakan percumanya gagal ditangkap kemas penjaga gol Sepanyol, Luis Arconada, sekali gus memberikan pendahuluan kepada Les Bleus.
Platini yang menjaringkan sembilan gol dalam lima perlawanan kejohanan itu membantu Perancis mengesahkan kejuaraan sebelum Bruno Bellone melengkapkan kemenangan 2 0.
Kejayaan itu menjadi titik permulaan kebangkitan Perancis di pentas antarabangsa, manakala Sepanyol terpaksa menunggu sehingga Euro 2008 untuk kembali mara ke final kejohanan besar.
Piala Dunia 2006, pusingan 16 terbaik: Sepanyol 1 Perancis 3
Satu satunya pertemuan kedua-dua pasukan di Piala Dunia sebelum edisi 2026 berlaku pada pusingan 16 terbaik di Jerman.
Sepanyol hadir dengan rekod sempurna selepas memenangi kesemua tiga perlawanan kumpulan, manakala Perancis pula berdepan kesukaran sebelum mara sebagai naib juara kumpulan.
Sepanyol membuka jaringan menerusi penalti David Villa, namun Franck Ribery menyamakan kedudukan sebelum tamat babak pertama.
Patrick Vieira kemudian meletakkan Perancis di depan sebelum legenda mereka, Zinedine Zidane memastikan kemenangan 3-1 ketika masa tambahan.
Perancis mara sehingga ke final sebelum tewas kepada Itali menerusi penentuan penalti, manakala Sepanyol bangkit beberapa tahun kemudian dengan menjuarai Piala Dunia 2010.
Final Liga Negara UEFA 2021: Sepanyol 1 Perancis 2
Pertemuan di San Siro, Milan itu menyaksikan Perancis bangkit selepas ketinggalan untuk menjulang trofi Liga Negara UEFA buat kali kedua.
Sepanyol kendalian Luis Enrique mendahului menerusi jaringan Mikel Oyarzabal selepas sejam permainan, namun Karim Benzema menyamakan kedudukan selepas menerima bantuan Kylian Mbappe.
Mbappe kemudian muncul wira apabila menjaringkan gol kemenangan untuk memastikan Perancis menjulang trofi kedua dalam era kendalian Didier Deschamps selepas kejayaan Piala Dunia 2018.
Separuh akhir Euro 2024: Sepanyol 2 Perancis 1
Sepanyol sekali lagi mencipta mimpi buruk buat Perancis apabila menyingkirkan mereka pada separuh akhir Euro 2024 di Munich.
Perancis terlebih dahulu mendahului menerusi Randal Kolo Muani, namun pemain muda Sepanyol, Lamine Yamal menyamakan kedudukan dengan jaringan menakjubkan ketika usianya hampir 17 tahun.
Dani Olmo kemudian menjaringkan gol kemenangan sebelum Sepanyol menewaskan England pada final untuk muncul juara Eropah.
Separuh akhir Liga Negara UEFA 2025: Sepanyol 5 Perancis 4
Pertemuan terbaru kedua dua pasukan menghasilkan aksi dramatik dengan sembilan gol tercipta dalam separuh akhir Liga Negara UEFA 2025.
Sepanyol mendominasi permainan apabila mendahului 4-0 pada awal babak kedua menerusi jaringan Nico Williams, Mikel Merino, penalti Lamine Yamal dan Pedri.
Perancis cuba bangkit menerusi jaringan penalti Kylian Mbappe sebelum Yamal menambah gol kelima Sepanyol.
Bagaimanapun, Perancis tidak berputus asa apabila Rayan Cherki, gol sendiri Dani Vivian dan Randal Kolo Muani menjadikan keputusan lebih sengit sehingga tamat permainan.
Kini kedua-dua pasukan sekali lagi bertemu di pentas terbesar dunia dengan sejarah panjang antara mereka menjadikan separuh akhir Piala Dunia 2026 antara aksi paling dinanti penyokong bola sepak global.
© New Straits Times Press (M) Bhd




