puterialia@hmetro.com.my
DI sebalik pasang surut industri muzik tanah air, kumpulan legenda rock alternatif, Butterfingers, mendedahkan kesetiaan peminat tegar dan ‘perjanjian darah’ sesama anggota menjadi rahsia utama mereka mampu bertahan serta kekal utuh bersama sejak tiga dekad lalu.
Pemain bass Butterfingers, Kadak, berpandangan bahawa faktor terbesar yang mengikat mereka untuk tidak berpecah bukanlah datang daripada diri mereka sendiri, sebaliknya daripada kesetiaan peminat tegar mereka.Menurut Kadak atau nama sebenarnya Mohd Fakharudin Mohd Bahar, sokongan tidak berbelah bahagi daripada pengikut fanatik yang sentiasa dahagakan karya mereka menjadi pembakar semangat untuk kumpulan itu terus melangkah.
“Masih ada peminat yang menyokong perjalanan muzik kami. Jadi, mahu atau tidak, kami tidak boleh menghilangkan diri begitu sahaja atau buat hal masing-masing.
“Kami mahu menghargai hubungan dan sokongan peminat yang menyokong Butterfingers sejak dari awal lagi,” katanya ketika ditemui Harian Metro.
Tambah Kadak, dorongan daripada peminat itu dirasakan seperti satu tanggungjawab dan niat baik untuk mereka membalas semula jasa penonton menerusi karya yang pernah dihasilkan.
“Mungkin itulah antara penyumbang utama mengapa band ini masih lagi berjalan (bertahan). Ini kerana masih ada permintaan. Walaupun ia tidak sebesar artis lain, peminat kami sudah cukup dan memadai bagi kami,” katanya lagi.
Tempoh tiga dekad dalam industri muzik bukanlah satu perjalanan yang mudah, namun bagi gitaris kumpulan berkenaan, Loque, ikatan yang terbina antara mereka bagaikan sukar untuk diputuskan.
Berkongsi mengenai perjalanan mereka, Loque atau nama sebenarnya Khairil Ridzwan Anuar, mendedahkan komitmennya terhadap muzik sudah terlalu mendalam sehingga tiada jalan untuk berpatah balik.
Mengakui cabaran bergelar anak seni pada era digital ini jauh berbeza berbanding zaman 1990-an, Loque berkata, tuntutan terhadap seorang pemuzik kini menjadi semakin meluas.
“Dulu kalau macam ‘Sifu’, mungkin mereka hanya fokus main gitar, buat lagu dan berlatih sahaja. Tetapi, sekarang, keperluan untuk seorang pemuzik itu sangat banyak, termasuklah kena aktif di media sosial dan macam-macam lagi.
“Penat itu memang penat, tetapi disebabkan adanya keghairahan dan minat yang mendalam serta komitmen tinggi menyebabkan rasa penat itu terus hilang,” katanya lagi.
Sementara itu, Loque turut bersetuju bahawa momentum bermain muzik perlu dikekalkan agar kemahiran yang ada tidak berkarat.
“Macam dulu-dulu, bila kita main muzik dan kemudian berehat, kadangkala kemahiran itu boleh jadi karat. Jadi sekarang, saya sentiasa cuba mencari ilmu baharu.
“Kita belajar ilmu sampai ke liang lahad. Sebab itu sekarang saya masih cuba mencari kemahiran baharu di samping terus menajamkan minda untuk menghasilkan pelbagai genre muzik,” kongsinya.
Menurut vokalis kumpulan Butterfingers, Emmett, dia menyifatkan fasa terkini hubungan mereka sudah mencapai satu tahap kematangan yang luar biasa.
“Dulu masa muda kami tak tahu berkomunikasi betul-betul, sekarang masing-masing dah matang dan ada anak, kami dah boleh duduk berbicara dari hati ke hati.
“Kami perlukan lebih banyak saluran untuk mengekspresikan diri, bukan lagi hanya terhad kepada Butterfingers, menulis lagu atau gubahan muzik semata-mata.
“Selagi kami dipanjangkan umur, kami akan kekalkan kumpulan kami. Perkara seperti ini rasa macam magis,” ujarnya.
Mengulas lanjut mengenai kebersamaan mereka, Emmett atau nama sebenarnya Emmett Roslan Ishak mengakui bukan mudah untuk mengekalkan empat individu dalam sebuah kumpulan muzik untuk tempoh yang lama, terutamanya apabila masing-masing perlu melalui kitaran hidup yang penuh pancaroba.
Dalam pada itu, Loque turut bersetuju dan menyifatkan keserasian yang wujud antara mereka setiap kali beraksi di atas pentas sebagai satu keajaiban yang sukar diungkapkan dengan kata-kata.
Konsert Butterfingers 1.2 Milligrams 30
Selepas 30 tahun, Butterfingers kembali meraikan album yang menjadi titik permulaan perjalanan seni mereka menerusi dua persembahan istimewa di Odeon KL Event Hall pada 8 dan 9 Ogos depan.
Menariknya, sepanjang dua persembahan ini, Butterfingers yang dianggotai Emmett, Loque, Kadak dan Loko ini akan mendendangkan keseluruhan trek daripada album 1.2 Milligrams, di samping beberapa rakaman demo yang tidak pernah dipersembahkan secara langsung sebelum ini.
Keputusan mengadakan dua persembahan dibuat kerana mereka mahu memberi ruang secukupnya kepada penyokong setia yang sudah bersama selama tiga dekad, selain generasi baharu yang baru menemui muzik mereka.
Menurut Emmett, sambutan tiga puluh tahun hanya datang sekali dan mereka mahu dua ‘showcase’ ini memberikan atmosfera seperti kembali ke era 90-an.
“Bukan kerana kami hidup dalam nostalgia, tetapi kerana di situlah semuanya bermula. Bunyi yang kuat. Lagu yang jujur. Orang ramai yang menyanyi bersama.
“Kami juga akan memainkan beberapa lagu demo yang hampir tidak pernah dipersembahkan sebelum ini. Ada perkara yang tidak perlu diulang berkali-kali. Itulah yang menjadikannya begitu bermakna,” katanya.
Sementara itu, Loque menyifatkan konsert ini sebagai satu sambutan untuk luka pertama yang akhirnya melahirkan album sulung mereka.
“Tiga puluh tahun kemudian, saya mahu kembali kepada lagu-lagu ini dan melihat semula bagaimana magis itu berlaku. Mungkin inilah peluang untuk kita sama-sama merungkai apa sebenarnya yang membuatkan 1.2 Milligrams terus dekat di hati begitu ramai orang.
“Mungkin akhirnya kita akan sedar bahawa tidak pernah wujud satu formula pun. Yang ada hanyalah kejujuran, beberapa lagu dan sekumpulan manusia yang bersedia untuk mendengarnya,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




