sukan@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Biarpun sudah menggantung but pada Oktober 2019 akibat kecederaan lutut berulang, legenda tengah Juventus, Claudio Marchisio kini selesa menikmati gaya hidup mewah dengan nilai kekayaan bersih dianggarkan mencecah kira-kira RM74 juta.
Selain bertindak sebagai duta global rasmi kelab gergasi Itali itu, bintang yang bergelar jutawan ini ligat mengembangkan empayar perniagaannya termasuk penubuhan agensi pengurusan sukan Mate Agency, pelaburan hartanah dan wain, serta memiliki rangkaian restoran Legami Sushi & More.
Ketokohan Marchisio yang turut dikenali dengan julukan ‘Il Principino’ atau Putera Kecil ini sentiasa menjadi buruan jenama fesyen mewah antarabangsa seperti Giorgio Armani susulan penampilannya yang bergaya serta panahan sepasang mata birunya yang tajam.
Kelantangannya sebagai penganalisis sukan di Rai Sport dan Amazon Prime Video turut mencuri tumpuan baru-baru ini apabila dia lantang mengkritik kepimpinan bola sepak negaranya selepas skuad Azzurri gagal ke Piala Dunia buat kali ketiga berturut-turut sebelum ini, selain kritikan terhadap aksi kelayakan terbaharu menentang Bosnia pada Mac lalu.
Namun, kekecewaan itu sedikit terubat apabila nama keluarga Marchisio kembali hangat diperkatakan selepas anak sulungnya, Davide, menerima jemputan untuk menyertai sesi latihan skuad senior Juventus pada April lalu walaupun remaja itu ketika itu masih beraksi bersama skuad Juventus Bawah 17 Tahun (U17) sebelum diserap ke skuad U18 bagi musim baharu Julai ini.
Mengimbau zaman kegemilangannya yang cukup digeruni dengan hantaran bijak dan larian lewat ke dalam kotak penalti, dia cemerlang membantu Juventus merangkul tujuh kejuaraan Serie A berturut-turut dan empat trofi Coppa Italia selain mara ke pentas akhir Liga Juara-Juara Eropah (UCL) sebanyak dua kali.
Di peringkat antarabangsa pula, dia berjaya meledak lima gol dalam 55 penampilannya bersama skuad kebangsaan Itali serta merasai bahang aksi di dua edisi Piala Dunia iaitu pada 2010 di Afrika Selatan dan 2014 di Brazil.
Peminat pastinya tidak lupa dengan insiden kontroversi Piala Dunia 2014 apabila dia dilayangkan kad merah terus selepas mengasari Egidio Arevalo Rios ketika menentang Uruguay, perlawanan sama yang menyaksikan Luis Suarez menggigit Giorgio Chiellini sebelum Itali tersingkir awal.
Kini, di sebalik kesibukan menguruskan empayar korporatnya, Marchisio terus menabur bakti dalam mengetuai pelbagai siri jelajah projek komuniti global Juventus termasuk pelancaran akademi bola sepak baharu bagi memperluas pengaruh jenama kelab itu di pasaran Asia.
© New Straits Times Press (M) Bhd




