Syed Saddiq salur bantuan bernilai RM6.2 juta kepada penduduk Muar sejak 18 bulan lalu

Syed Saddiq salur bantuan bernilai RM6.2 juta kepada penduduk Muar sejak 18 bulan lalu

am@hmetro.com.my

Putrajaya: Bantuan bernilai lebih RM6.2 juta diagihkan kepada penduduk Muar sepanjang tempoh 18 bulan lalu, kata Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Syed Saddiq berkata, beliau berikhtiar mencari dana dan pelbagai bentuk bantuan kepada penduduk Muar atas dasar tanggungjawab.

“Pada masa sama, saya tidak pernah culas jalan tanggungjawab. Boleh lihat rekod saya di Parlimen. Bukan sahaja catat kehadiran 100 peratus, malah, hadir sepenuhnya pada mesyuarat peringkat jawatankuasa serta terbabit dalam pindaan Perlembagaan.

“Saya tidak mahu culas. Dalam melaksanakan tanggungjawab, saya perlu berfikir di luar kotak dan akan terus menggunakan pendekatan itu demi membela rakyat saya,” katanya kepada pemberita di lobi Istana Kehakiman di sini, hari ini.

Syed Saddiq mengulas dakwaan konon sudah hilang aura sebagai ahli politik berikutan pembabitan dalam pelbagai projek termasuk dalam industri komersial dan hiburan.

Syed Saddiq berkata, sepanjang enam tahun menjadi ahli politik, beliau terpaksa membuat beberapa keputusan sukar termasuk melepaskan jawatan sebagai Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) selepas Mahkamah Tinggi menjatuhkan hukuman terhadapnya.

Syed Saddiq berkata, keputusan itu dibuat kerana percaya seseorang yang ingin membangunkan negara perlu memiliki integriti yang tidak boleh dipersoalkan.

“Saya percaya jika kita mahu bangunkan negara, kita perlu menjadi lebih putih daripada putih (whiter than white).

“Sebab itu saya ambil sedikit langkah ke belakang untuk membuktikan kebenaran di mahkamah dan membersihkan nama saya. Alhamdulillah, sekarang saya sudah berjaya membuktikannya,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top