Kerjasama UMNO-Pas: Fadhli Shaari guna analogi bola sepak

Kerjasama UMNO-Pas: Fadhli Shaari guna analogi bola sepak

SHAH ALAM – Pas menegaskan parti itu tidak mengubah matlamat perjuangannya meskipun berdepan pelbagai persepsi bahawa ia sering menukar pendirian dalam percaturan politik.

Ketua Penerangan Pas, Ahmad Fadhli Shaari berkata, perkara itu hanyalah penyesuaian dari segi strategi, barisan pemain dan pendekatan bagi memastikan parti terus bergerak ke arah matlamat yang ditetapkan.

“Ada yang kata Pas selalu tukar tiang gol. Hakikatnya, Pas tetap akan berusaha menjaringkan gol ke gawang lawan dan tidak akan sama sekali menjaringkan gol sendiri.

“Dalam proses menjaringkan gol itulah strategi, pemain, bahkan jurulatih sekalipun sentiasa perlu ditukar ganti jika perlu,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Isnin.

Menurut Ahli Parlimen Pasir Mas itu, Pas akan terus berusaha mencapai sasaran selagi tempoh perjuangan masih berjalan.

“Jangan bimbang, selagi 90 minit belum berakhir, matlamat menjaringkan gol ke gawang lawan tetap diteruskan.

“Pasukan Pas tidak akan bergabung dengan pasukan lawan untuk menjaringkan gol sendiri,” katanya lagi.

Beliau turut memberi bayangan bahawa pendirian tersebut akan diuji pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan.

“Liga berikutnya di Negeri Sembilan akan menyaksikan Pas mengotakan janji ini,” katanya.

Terdahulu, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi memaklumkan agar semua pihak tidak terlalu optimis dengan kenyataan politik Pas yang didakwanya boleh menukar goal post pada bila-bila masa.

Beliau berkata, tidak ada sebarang perbincangan dengan Pas mengenai hala tuju strategi politik menjelang PRN Negeri Sembilan pada 1 Ogos nanti meskipun Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang mengesahkan parti itu sedang mengadakan rundingan dengan UMNO bagi membentuk kerjasama politik.

Scroll to Top