syafil.syazwan@hmetro.com.my
Kuala Lumpur : Penyanyi dan komposer, Ajai menyambut baik cadangan sesetengah pihak yang mahukan tiga kategori utama Anugerah Juara Lagu (AJL) iaitu Pop Rock, Irama Malaysia (sebelum ditukar kepada kategori Etnik Kreatif) dan Balada dikembalikan semula seperti penganjuran terdahulu.
Ajai atau nama sebenarnya Mohd Faizal Maas berkata, pengasingan kategori itu sebenarnya sangat bagus kerana ia mampu memberi kefahaman yang lebih tepat dan mendidik masyarakat mengenai erti sebenar konsep muzik.
“Bagi saya, itu satu cadangan yang bagus. Sebenarnya, pada zaman (ada kategori) itu, kita secara tidak langsung mendidik masyarakat mengenai erti sebenar muzik pop.
“Ini penting supaya orang ramai tidak keliru sama ada pop itu sebuah konsep atau genre asas. Tidak, pop itu sebenarnya bermaksud popular. Muzik jazz, irama Malaysia, balada, malah etnik juga boleh menjadi popular,” katanya kepada Harian Metro.
Menurutnya, perkataan ‘pop’ itu sendiri merujuk kepada nilai komersial dan aliran perdana (mainstream), bukannya sebuah genre konsep yang berdiri sendiri.
“Konsep sebenar sesebuah lagu itu bergantung kepada perkataan di hadapannya, contohnya seperti pop rock, pop etnik, atau pop balada.
“Jika dikembalikan, ia sangat bagus dan lebih tepat kerana kita tahu pembahagian kategorinya dengan jelas. Sepanjang lapan kali saya memenangi anugerah dahulu, semuanya adalah berdasarkan pembahagian kategori pop itu, sama ada pop rock atau pop balada,” katanya.
Tambah Ajai, kewujudan semula kategori-kategori ini secara tidak langsung dapat mengangkat semula martabat pengkarya genre tertentu yang sedia ada di negara ini.
“Jadi kita akan tahu siapa ‘Raja’ atau ‘Ratu’ untuk genre etnik, genre pop, mahupun genre rock. Secara asasnya di Malaysia pada waktu itu, memang ketiga-tiga genre ini yang paling popular,” katanya.
Ditanya mengenai kesesuaian format itu sekiranya mahu dilaksanakan mengikut peredaran zaman sekarang yang menyaksikan kepelbagaian genre seperti R&B, hip hop, dan reggae, Ajai menjelaskan perkara itu tidak menjadi masalah.
Katanya, lagu-lagu alternatif seperti itu boleh disekalikan di bawah satu payung kategori yang besar iaitu ‘world music’ yang juga sebahagian daripada muzik etnik.
“‘World music’ ini merangkumi apa-apa sahaja konsep muzik yang bukan secara spesifiknya berasal dari Malaysia. Jadi elemen hip hop mahupun reggae, semuanya boleh dimasukkan di bawah kategori etnik itu.
“Kalau ada orang mempertikaikan nanti terlalu banyak kategori jika dimasukkan reggae dan pop, jawapannya tidak. Ia tetap dikira sebagai muzik luar, bukannya nilai komersial asal Malaysia yang kebiasaannya didominasi oleh genre balada dan rock.
“Sebab itu kadang-kadang orang keliru, mereka ingat ‘world music’ ini wajib ada bunyi gendang. Tidak, bukan begitu.
“Asalkan ia mempunyai elemen etnik luar yang bezanya kita boleh dengar dan tahu ia bukan identiti muzik Malaysia yang biasa seperti reggae, samba, atau jazz, semuanya dikira sebagai ‘world music’ yang mewakili kategori etnik,” ujarnya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




