am@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Penyatuan ummah antara UMNO dan PAS semakin mendapat tekanan daripada pihak lawan, namun UMNO tidak gentar mempertahankan penyatuan berkenaan, kata Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.
Beliau berkata, pelbagai bentuk intimidasi, fitnah dan tuduhan jahat dilemparkan dengan tujuan menakutkan, mengaibkan serta mencalar reputasi pimpinan, selain menguji kecekalan mereka.
“Apa yang berlaku mutakhir ini mengingatkan kita betapa manusia yang hanyut dengan kekuasaan sementara sehingga hilang pertimbangan.
“(Mereka) rakus menyalahgunakan sisa-sisa jawatan, menganiaya rakan yang sebelum ini mengangkat mereka ke puncak takhta.
“Tetapi mereka tersilap percaturan. Mereka sangkakan dengan menganiaya dan memalukan kita, maka kita akan lemah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membentangkan laporan pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2026 di Pusat Dagangan Dunia (WTC), di sini, hari ini.
Asyraf Wajdi berkata, semakin hebat tekanan diberikan terhadap penyatuan itu, semakin kuat pihaknya akan melawan.
“Mereka silap. Kita ini pejuang UMNO, pejuang Melayu. Dicabar kita bangkit, ditekan kita melompat lebih tinggi, dipukul kita berdiri lebih keras melawan.
“Kalau layar sudah dikembang, jangan gentar ombak lautan. Kalau sabar sudah tak terkekang, lagi ditekan, lagi kuat kita lawan,” katanya.
Dalam pada itu, beliau menasihatkan perwakilan UMNO supaya tidak terlalu mendongak ke atas ketika angin memihak kepada parti itu.
“Gelombang yang membawa kita ke atas juga boleh menghempas kita ke bawah jika kita lupa daratan.
“Ingatlah, kemenangan ini bukan lesen untuk kita mendada, tetapi suatu amanah untuk kita berkhidmat dengan lebih cemerlang kepada rakyat dengan penuh tawaduk dan keikhlasan,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd

