Enam pasukan buru Hakim Danish

Enam pasukan buru Hakim Danish

sukan@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Masa depan pelumba Moto3 negara, Hakim Danish Ramli bagi musim depan dijangka menjadi antara tumpuan apabila sekurang-kurangnya lima hingga enam pasukan menunjukkan minat serius untuk mendapatkan khidmatnya.

Pengurus ZK Racing, Zulfahmi Khairuddin mengesahkan beliau sudah mengadakan beberapa pertemuan dengan pasukan ketika Grand Prix (GP) Jerman bagi menilai pilihan terbaik buat pelumba berusia 19 tahun itu.

Bagaimanapun, bekas pelumba Moto2 negara itu menegaskan keutamaannya masih untuk meneruskan kerjasama bersama pasukan semasa, namun tidak menolak untuk mempertimbangkan tawaran lain yang mampu memberikan masa depan lebih cerah kepada Hakim Danish.

“Ketika di Jerman memang banyak pasukan datang berjumpa saya dan saya juga bertemu dengan beberapa pasukan. Sudah tentu saya melihat peluang yang ada serta meneliti setiap butiran yang boleh membantu meningkatkan lagi karier Danish pada masa depan.

“Matlamat utama saya masih untuk kekal bersama pasukan semasa, tetapi pada masa sama saya juga melihat pilihan lain yang ada,” katanya.

Tambah Zulfahmi, semua pasukan yang menghubunginya hadir dengan tawaran serius dan bukannya sekadar bertanya mengenai status pelumba negara itu.

Malah, beliau menegaskan tidak akan berunding dengan pasukan yang tidak serius.

“Daripada pengalaman saya sendiri bersama Datuk Razlan Razali, bekas Ketua Pegawai Eksekutif Litar Antarabangsa Sepang (SIC), kalau kita mahu melahirkan pelumba yang mampu menjadi juara dunia, mereka perlu berada dalam pasukan yang sudah terbukti berjaya.

“Dulu saya bermula dengan pasukan bawahan sebelum Datuk Razlan berunding dengan pasukan yang pernah muncul juara dunia dan akhirnya saya menyertai pasukan Aki Ajo pada 2011. Dalam Moto3, bukan banyak pasukan yang mempunyai rekod memenangi gelaran dunia,” katanya.

Mengulas pandangan Hakim Danish mengenai hala tuju kariernya, Zulfahmi berkata, keputusan tidak boleh dibuat secara terburu-buru kerana banyak faktor perlu dipertimbangkan.

“Hakim Danish ada pandangannya sendiri, tetapi kami perlu berbincang dengan lebih terperinci supaya keputusan yang dibuat tidak merugikan kami pada masa depan. Dalam sukan permotoran, keputusan tidak boleh dibuat mengikut emosi atau semata-mata berdasarkan nilai kontrak. Kami perlu melihat pelan jangka panjang, persekitaran pasukan dan peluang untuk dia terus berkembang.

“Buat masa ini, Danish hanya perlu fokus kepada perlumbaan, manakala saya akan memainkan peranan mencari pasukan terbaik untuknya,” katanya.

Pada masa sama, beliau mendedahkan pasukan semasa Hakim Danish kini sedang menunggu keputusan mereka berhubung kontrak baharu selepas hampir melengkapkan senarai pelumba bagi musim depan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top