Arne Riise gesa Ronaldo bersara selepas jadi beban kepada Portugal

Arne Riise gesa Ronaldo bersara selepas jadi beban kepada Portugal

London: Bekas pertahanan Liverpool dan Fulham, John Arne Riise menggesa Cristiano Ronaldo mengundurkan diri daripada arena bola sepak antarabangsa dengan menyifatkan penyerang veteran itu tidak lagi mampu beraksi pada tahap tertinggi.

Menurut bekas tonggak Norway itu, bintang Al-Nassr berusia 41 tahun berkenaan kini lebih menjadi beban kepada Portugal berbanding membantu pasukan.

Riise turut menyalahkan bekas jurulatih Portugal, Roberto Martinez kerana gagal mengendalikan situasi membabitkan Ronaldo dengan tegas.

Penyingkiran Portugal pada pusingan 16 terbaik Piala Dunia 2026 kembali mencetuskan perdebatan mengenai kedudukan Ronaldo dalam kesebelasan utama, dengan ramai berpendapat kehadirannya mengehadkan fleksibiliti taktikal pasukan.

Bercakap kepada BestBettingSites, Riise berkata beliau kecewa dengan cara Ronaldo terus diberi keutamaan.

“Saya tahu jurulatih Portugal menyayangi Ronaldo, tetapi saya rasa keseluruhan situasi membabitkannya di Piala Dunia kali ini agak menyedihkan.

“Pada satu ketika dia gagal menjaringkan gol, kemudian berkata dia sudah kembali selepas menjaringkan beberapa gol, tetapi selepas itu dia kembali tenggelam.

“Saya tidak fikir Roberto Martinez mengendalikan situasi ini dengan baik. Dia sepatutnya lebih tegas dan mengutamakan pasukan berbanding seorang individu,” katanya.

Walaupun Ronaldo kekal sebagai penjaring terbanyak sepanjang zaman di peringkat antarabangsa, Riise percaya bekas bintang Real Madrid dan Manchester United itu tidak lagi memiliki kemampuan untuk bersaing di tahap tertinggi.

Beliau turut berpendapat Ronaldo tidak sepatutnya terus bersama Portugal sehingga Euro 2028 dan sudah tiba masanya memberi peluang kepada pemain muda.

“Saya tidak fikir Ronaldo akan bersedia untuk Euro nanti, malah saya juga tidak fikir dia cukup bagus untuk terus bermain bersama Portugal pada tahap itu.

“Dia patut menamatkan karier antarabangsanya dan menyerahkan peluang kepada pemain muda.

“Bola sepak moden sangat menuntut dari segi fizikal. Anda memerlukan kesemua 11 pemain berlari dan berjuang untuk pasukan, kecuali jika anda Lionel Messi.

“Ronaldo tidak lagi melakukan perkara itu dan saya fikir kehadirannya lebih melemahkan Portugal daripada membantu mereka,” katanya.

Desakan supaya Ronaldo bersara semakin kuat selepas Portugal tersingkir menerusi kekalahan 0-1 kepada Sepanyol pada pusingan 16 terbaik.

Ronaldo dilihat meninggalkan padang dalam keadaan sebak selepas hanya menjaringkan satu gol pada peringkat kalah mati kejohanan itu.

Bagaimanapun, penyerang Al-Nassr itu menegaskan beliau tidak akan membuat keputusan terburu-buru mengenai masa depannya.

“Saya sedih meninggalkan Piala Dunia dengan cara ini. Saya sudah memberikan segala-galanya dan melakukan yang terbaik.

“Ya, ini adalah Piala Dunia terakhir saya, tetapi saya akan mengambil masa untuk berfikir dan meluangkan masa bersama keluarga.

“Saya tidak akan membuat keputusan secara terburu-buru. Saya tidak mahu membuat keputusan ketika masih dikuasai emosi. Buat masa ini, soal sama ada saya akan terus bermain atau tidak bukan perkara yang penting,” kata Ronaldo.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top