am@hmetro.com.my
Shah Alam: Berpura-pura berunding untuk membeli 70 keping emas tulen bernilai RM150,000 di inap desa sebelum melarikannya melalui pintu belakang.
Taktik digunakan pakai seorang lelaki tempatan itu bagaimanapun berjaya ditumpaskan selepas suspek diberkas di hotel terletak di daerah Brickfields, Kuala Lumpur, Rabu lalu.
Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Lim Jit Huey berkata, tangkapan itu susulan kejadian samun di sebuah inap desa di Taman Sri Andalas, Klang di sini, kira-kira jam 10 malam, Selasa lalu.
Menurutnya, polis membuat tangkapan ke atas suspek berusia 57 tahun itu pada jam 6.30 petang kelmarin, iaitu kurang 24 jam selepas kejadian.
“Pihak polis sebelum itu menerima laporan berhubung kejadian itu dibuat mangsa lelaki berusia 28 tahun. Mangsa berkerja sebagai penghantar barang kemas (gold bar).
“Siasatan mendapati suspek berpura-pura mengajak mangsa datang ke inap desa berkenaan kononnya bagi urusan jual beli emas.
“Apabila mangsa menyerahkan 70 keping emas kepada suspek untuk diteliti, suspek masuk ke dalam bilik dan melarikan diri melalui laluan belakang rumah.
“Semasa tangkapan, pihak polis juga berjaya merampas kesemua emas dilarikan itu,” katanya tadi.
Lim berkata, suspek yang mempunyai tujuh rekod lampau jenayah direman selama tempoh empat hari mulai semalam hingga Ahad ini.
“Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Selatan membuka satu kertas siasatan mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd


