MA63 perlu diangkat sebagai naratif nasional, bukan isu Sabah dan Sarawak semata-mata – Kamil Munim

SHAH ALAM – Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) perlu diangkat secara lebih mendalam sebagai sebahagian daripada naratif nasional, bukan sekadar dilihat sebagai tuntutan wilayah antara Kota Kinabalu, Kuching dan Putrajaya.

Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Muhammad Kamil Abdul Munim berkata, penegasan Perdana Menteri di Sabah itu membuka ruang untuk menilai semula kefahaman mengenai sejarah, asas pembentukan serta makna Malaysia.

Beliau berkata, selepas lebih enam dekad pembentukan Malaysia, wacana kebangsaan masih banyak berlegar dari sudut pandang Semenanjung, sedangkan sejarah tidak pernah meletakkan Sabah dan Sarawak sebagai catatan sampingan.

“Naratif nasional tidak memadai sekadar dengan masyarakat di Semenanjung memahami tuntutan Sabah dan Sarawak. Ia menuntut kita memahami pengalaman satu sama lain sebagai pengalaman Malaysia.

“Sejarah Sabah dan Sarawak adalah sejarah kita. Kemiskinan di pedalaman Sabah bukan masalah orang Sabah semata-mata, sebagaimana keciciran pendidikan di Sarawak tidak boleh dianggap persoalan yang jauh daripada kehidupan seorang anak muda di Selangor, Kedah atau Kelantan,” katanya dalam kenyataan menjelang sambutan Hari Malaysia.

Muhammad Kamil berkata, pembentukan Malaysia tidak selesai hanya melalui penyelesaian peruntukan Perlembagaan atau pembahagian kuasa, sebaliknya menuntut rasa kepunyaan, kesaksamaan peluang serta penghormatan terhadap kepelbagaian.

Beliau berkata, banyak kemajuan telah dicapai dan pelbagai perkara berkaitan MA63 juga telah diselesaikan atau dikembalikan melalui rundingan, namun pembinaan negara perlu terus diperkukuh.

Menurutnya, penghormatan terbaik kepada generasi terdahulu yang membentuk Malaysia pada 1963 ialah meneruskan dan menyempurnakan ikhtiar mereka, termasuk memperkukuh federalisme serta merapatkan jurang pembangunan.

“Malaysia tidak mungkin difahami hanya dari Kuala Lumpur,” katanya dan mengajak generasi muda memikirkan ikhtiar untuk Malaysia bagi tempoh 30 atau 50 tahun mendatang.

Scroll to Top