Kuala Lumpur: Sejarah dan cabaran yang dilalui Sabah dan Sarawak perlu difahami sebagai sebahagian daripada pengalaman seluruh Malaysia dalam usaha mengangkat Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) sebagai naratif nasional, kata Ketua Angkatan Muda Keadilan Muhammad Kamil Abdul Munim.
Setiausaha Politik Menteri Kewangan itu berkata, naratif nasional bukan sekadar menuntut masyarakat di Semenanjung memahami tuntutan Sabah dan Sarawak tetapi juga melihat pengalaman rakyat kedua-dua negeri sebagai pengalaman bersama.
“Sejarah Sabah dan Sarawak adalah sejarah kita. Kemiskinan di pedalaman Sabah bukan masalah orang Sabah semata-mata, sebagaimana keciciran pendidikan di Sarawak tidak boleh dianggap persoalan yang jauh daripada kehidupan seorang anak muda di Selangor, Kedah atau Kelantan,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini
Menyambut baik penegasan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya pelaksanaan MA63 dijadikan naratif nasional, beliau berkata seruan itu bukan sekadar membuka ruang lebih luas untuk membincangkan hak Sabah dan Sarawak malah mengajak rakyat menilai semula kefahaman tentang sejarah, asas pembentukan dan makna Malaysia.
Beliau berkata, selepas lebih enam dekad Malaysia dibentuk, perbincangan mengenai negara masih banyak tertumpu kepada sudut pandang Semenanjung manakala isu berkaitan MA63, kedudukan Sabah dan Sarawak, tuntutan pembangunan serta hubungan dengan Kerajaan Persekutuan sering dilihat hanya sebagai persoalan wilayah.
“Sedangkan sejarah pembentukan Malaysia tidak pernah meletakkan Sabah dan Sarawak sebagai catatan sampingan kepada sebuah negara yang telah sempurna terbentuk,” katanya.
Beliau berkata banyak kemajuan telah dicapai dan pelbagai perkara berkaitan MA63 telah diselesaikan atau dikembalikan melalui rundingan namun pembinaan sebuah negara tidak pernah selesai hanya melalui penyelesaian peruntukan Perlembagaan atau pembahagian kuasa.
Muhammad Kamil berkata, ia turut menuntut rasa kepunyaan, kesaksamaan peluang, penghormatan terhadap kepelbagaian dan keyakinan bahawa seorang anak yang lahir di Tawau, Kapit, Kangar atau Kuala Lumpur mempunyai saham yang sama terhadap masa depan negara ini.
Beliau berkata, Malaysia lahir daripada keberanian membentuk sebuah Persekutuan yang merentasi laut dan wilayah serta menghimpunkan masyarakat daripada latar budaya, agama serta sejarah berbeza yang bersedia berkongsi masa depan dalam sebuah negara.
Muhammad Kamil berkata, itulah makna sebuah Persekutuan yang perlu difahami dalam usaha menjadikan MA63 sebagai sebahagian daripada naratif nasional.
Terdahulu, Anwar selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tindakan Pelaksanaan MA63 Tahun 2026 di Kota Kinabalu berkata pelaksanaan perjanjian itu perlu dijadikan naratif nasional serta tidak dilihat sebagai isu khusus membabitkan Sabah dan Sarawak semata-mata.
© New Straits Times Press (M) Bhd

