am@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Fenomena Super El Nino penghujung tahun ini berpotensi membawa cuaca panas dan kering ekstrem di negara ini, dengan beberapa kawasan dijangka merekodkan suhu sehingga 40 darjah Celsius antara Januari hingga Mei tahun depan.
Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) dalam satu hantarannya berkata, kebarangkalian berlakunya fenomena berkenaan kini menghampiri 100 peratus berdasarkan ramalan model iklim daripada pusat pencerapan dan penyelidikan antarabangsa.
MetMalaysia memaklumkan rekod meteorologi terdahulu menunjukkan episod El Nino sangat kuat sering dikaitkan dengan peningkatan suhu, cuaca kering dan risiko jerebu yang serius.
Pengalaman ketika episod Super El Nino 1997/1998 dan 2015/2016 turut menunjukkan bacaan suhu maksimum harian di negara ini lebih ekstrem berbanding tempoh lain.
Antara rekod tertinggi ialah 40.1 darjah Celsius di Stesen Meteorologi Chuping, Perlis pada 9 April 1998, manakala 39.3 darjah Celsius direkodkan di Stesen Meteorologi Batu Embun, Jerantut, Pahang pada 10 April 2016.
MetMalaysia turut menjangkakan terdapat kira-kira 70 peratus kebarangkalian intensiti El Nino kali ini mengatasi kekuatan episod El Nino yang pernah direkodkan sejak 1950.
Keadaan itu berpotensi menyebabkan kawasan utara dan pedalaman Semenanjung, selain pedalaman Sabah dan Sarawak, mengalami suhu lebih tinggi daripada kebiasaan serta meningkatkan risiko cuaca panas dan gelombang haba bermula penghujung Monsun Timur Laut pada Januari hingga Mei 2027.
Berdasarkan jangkaan terkini, lebih banyak stesen meteorologi di utara Semenanjung berkemungkinan mencatatkan suhu sehingga 40 darjah Celsius ketika kemuncak musim panas dalam tempoh berkenaan.
MetMalaysia turut memberi amaran mengenai peningkatan risiko kebakaran hutan dan jerebu susulan keadaan cuaca yang lebih panas dan kering.
“Risiko kebakaran serta pencemaran udara boleh meningkat,” menurut MetMalaysia.
MetMalaysia berkata, peningkatan suhu dan cuaca panas berpanjangan boleh meningkatkan risiko gelombang haba serta memberi kesan kepada kesihatan, khususnya kanak-kanak, warga emas dan individu yang melakukan aktiviti di luar.
Pengurangan taburan hujan serta tempoh kering yang lebih panjang juga berpotensi memberi tekanan kepada sumber air, termasuk kawasan tadahan dan empangan, selain menjejaskan sektor pertanian serta industri yang sensitif terhadap kekurangan air.
Keadaan panas dan kering berpanjangan turut menyebabkan kawasan vegetasi lebih mudah terbakar, sekali gus meningkatkan risiko kebakaran hutan dan tanah gambut serta kejadian jerebu pada skala tempatan mahupun rentas sempadan.
© New Straits Times Press (M) Bhd

