MIC Johor tak minta tambah kuota EXCO walau semua calon menang

MIC Johor tak minta tambah kuota EXCO walau semua calon menang

am@hmetro.com.my

Johor Bahru : MIC Negeri Johor tidak akan meminta tambahan wakil dalam barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Johor atau EXCO, walaupun semua empat calon parti itu menang dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor Ke-16.

Pengerusinya, K Raven Kumar berkata, parti itu menyerahkan sepenuhnya kepada kebijaksanaan Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi dalam menentukan pengagihan barisan EXCO.

Beliau turut berkata, antara empat wakil MIC itu, siapa sahaja boleh dilantik sebagai EXCO biar pun bukan dirinya.

“Semua memang harap nak lebih daripada kita dapat sebelum ini. Tetapi dalam Barisan Nasional (BN) kita sudah ada satu sistem, kita pun tak akan mencabar sistem itu.

“Apa yang paling penting, ada antara kita yang jadi wakil (EXCO), seorang pun tidak mengapa, yang penting kita boleh menjalankan tugas.

“Saya rasa tidak kira siapa yang dipilih, tetapi saya percaya siapa-siapa dalam kalangan empat orang ini boleh menjalankan tugas dan memberi kerjasama yang cukup baik,” katanya ketika sidang media di sini, hari ini.

Pada PRN Johor Ke-16, BN meletakkan empat wakil MIC sebagai calon iaitu di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kemelah, Raven; V Rugendran di DUN Kahang, P Pannir Selvam di DUN Perling dan DUN Bukit Batu, R Kumaran.

Raven yang juga bekas EXCO Perpaduan, Warisan dan Budaya negeri berkata, walaupun tiga lagi wakil MIC dalam DUN Johor itu adalah muka baharu, mereka berpengalaman dalam berkhidmat untuk rakyat.

Sementara itu, Penganalisis politik, Prof Madya Dr Mazlan Ali berkata, peranan parti komponen yang turut menyumbang kepada kemenangan besar BN pada PRN Johor Ke-16 juga perlu diambil kira.

“MCA menang lapan kerusi dan MIC juga memenangi empat kerusi. Jadi, sekarang Menteri Besar perlu ambil kira peranan MCA dan MIC, maknanya dalam barisan EXCO itu mesti juga diwakili parti-parti komponen ini,” jelasnya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top