Persepsi Jalaluddin ‘penderhaka’ berisiko jadi liabiliti BN Negeri Sembilan – Penganalisis

Persepsi Jalaluddin ‘penderhaka’ berisiko jadi liabiliti BN Negeri Sembilan – Penganalisis

SHAH ALAM – Tindakan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias mengepalai 14 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) UMNO menarik sokongan terhadap Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun sebelum ini, berisiko menjadi liabiliti kepada parti itu menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

Pengarah Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Kuala Lumpur, Profesor Madya Dr Mazlan Ali berkata, ini kerana tindakan itu berkemungkinan dilihat pengundi sebagai satu bentuk ‘penderhakaan’ kepada institusi diraja.

Tambahnya, persepsi itu boleh memberi kesan kepada UMNO dan BN negeri memandangkan kepimpinan pusat parti tetap mempertahankan kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH).

Menurut Mazlan, Jalaluddin yang dilihat sebagai jurucakap kumpulan 14 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) UMNO yang menarik sokongan terhadap Aminuddin seolah-olah tidak akur dengan pendirian pucuk pimpinan parti.

“Walaupun Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menegaskan kerjasama dengan PH diteruskan, tindakan Jalaluddin memberi gambaran sebaliknya.

“Beliau menjadi jurucakap kepada kumpulan itu dan keadaan tersebut boleh mencalarkan imej UMNO di Negeri Sembilan,” katanya kepada media pada Selasa.

Mazlan berkata, tindakan berkenaan turut bertembung dengan isu melibatkan institusi diraja dan Adat Perpatih apabila Aminuddin dilihat mempertahankan kedudukan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz.

Katanya, penyebaran video yang memaparkan Jalaluddin bersama Undang Jelebu ketika Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan Ke-12 turut membuka ruang kepada persepsi bahawa beliau tidak bersama Tuanku Muhriz.

“Apabila timbul isu tidak berpuas hati terhadap tindakan Aminuddin yang dilihat mempertahankan Tuanku, tindakan Jalaluddin pula dianggap tidak mesra dengan Tuanku Muhriz.

“Perkara itu sedikit sebanyak memberi kesan kepada persepsi rakyat.

“Dakwaan bahawa beliau ‘derhaka’ boleh menjadi liabiliti politik kepada UMNO menjelang PRN kerana isu ini bertindih dengan sentimen berkaitan institusi diraja dan Adat Perpatih,” katanya.

Beliau bagaimanapun berkata, soal sama ada Jalaluddin akan dicalonkan semula pada PRN akan datang bergantung sepenuhnya kepada pucuk pimpinan UMNO.

Sementara itu, penganalisis politik dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Profesor Madya Dr Syaza Shukri berpandangan isu berkenaan tidak semestinya memberi kesan besar terhadap kedudukan Jalaluddin dalam parti.

“Saya rasa UMNO boleh memberikan pelbagai alasan bahawa mereka tidak derhaka, sebaliknya melakukan apa yang dianggap terbaik untuk negeri.

“Jika Jalaluddin tidak dicalonkan semula, ia akan kelihatan seperti UMNO mengakui tindakan itu satu kesilapan dan saya tidak fikir parti akan mengambil pendekatan sedemikian,” katanya.

Scroll to Top