Arlington: Perancis yang diketuai jentera serangan berbisa diterajui Kylian Mbappe akan memburu tiket ke final Piala Dunia buat kali ketiga berturut-turut apabila berdepan Sepanyol pada aksi separuh akhir awal pagi esok.
Selepas lebih sebulan kejohanan berlangsung, aksi separuh akhir di Stadium AT&T, Arlington, Texas dijangka menyajikan pertembungan yang memukau.
Jurulatih Perancis, Didier Deschamps, bagaimanapun menganggap Sepanyol sebagai pasukan pilihan untuk memenangi perlawanan itu.
“Mereka menyerang dengan baik, bertahan dengan baik dan tidak mudah dibolosi. Ia berpotensi menjadi perlawanan yang cukup hebat,” kata Deschamps.
Perancis mara ke dua final Piala Dunia sebelum ini dengan muncul juara pada edisi 2018 di Rusia sebelum tewas menerusi penentuan sepakan penalti kepada Argentina yang diketuai Lionel Messi pada final 2022 di Qatar, meskipun Mbappe meledak hatrik dalam aksi epik itu.
Selepas meraih gelaran dunia pertama pada 1998, Les Bleus kini memburu kejuaraan Piala Dunia ketiga, manakala La Roja, meskipun memiliki sejarah bola sepak yang gemilang, hanya pernah menjulang trofi itu sekali, iaitu di Afrika Selatan pada 2010.
Ramai pemerhati percaya skuad Sepanyol kali ini memiliki kualiti untuk menghadiahkan gelaran dunia kedua selepas mereka semakin mempamerkan aksi meyakinkan sejak diikat tanpa jaringan oleh pendatang baharu, Cape Verde, pada peringkat kumpulan.
Namun, mereka terlebih dahulu perlu menyekat jentera serangan bertaraf dunia milik Perancis.
Penyerang Real Madrid, Mbappe, sudah meledak lapan gol dan kini berkongsi kedudukan pendahulu carta penjaring terbanyak bersama Messi.
Mbappe turut dibantu barisan pemain berkualiti termasuk pemenang Ballon d’Or, Ousmane Dembele, serta penyerang kelahiran England, Michael Olise, yang memiliki kepantasan dan kemahiran menggelecek hingga mampu membuka ruang buat Mbappe menghasilkan magisnya.
Barisan pertahanan Perancis yang sebelum kejohanan dianggap sebagai kelemahan utama mereka juga tampil cukup meyakinkan sepanjang kempen kali ini.
Kekalahan kepada Argentina pada final di Doha empat tahun lalu masih meninggalkan parut buat Perancis dan mereka pastinya mahu membalas dendam, sekiranya Messi berjaya membawa Argentina menewaskan England dalam satu lagi aksi separuh akhir di Atlanta.
Motivasi Perancis turut dipertingkatkan dengan hakikat bahawa Deschamps akan meninggalkan pasukan selepas kejohanan ini berakhir, sekali gus menutup tirai 14 tahun khidmatnya sebagai ketua jurulatih.
Selepas mencipta sejarah sebagai antara individu yang memenangi Piala Dunia sebagai pemain dan jurulatih, Deschamps pastinya mahu mengakhiri tugasnya dengan menghadiahkan gelaran dunia ketiga buat Perancis.
© New Straits Times Press (M) Bhd




