Aksi Chelsea, JDT masuk 'gear akhir'

Aksi Chelsea, JDT masuk 'gear akhir'

sukan@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Persiapan perlawanan persahabatan antara gergasi Liga Perdana Inggeris (EPL), Chelsea dan juara Liga Super 12 kali berturut-turut, Johor Darul Ta’zim (JDT), kini memasuki fasa akhir dan dijangka berlangsung seperti dirancang di Stadium Sultan Ibrahim pada 9 Ogos 2026.

Pengarah Urusan TEG Sport, Rachael Carroll berkata, fokus utama sepanjang beberapa minggu akan datang adalah memastikan penganjuran perlawanan ini mencerminkan status dan reputasi dua kelab besar, Chelsea dan JDT.

“Acara bola sepak antarabangsa bertaraf dunia ditentukan oleh segala persiapan yang dilakukan jauh sebelum sepak mula.

“Ketika persiapan memasuki fasa terakhir, keutamaan kami adalah memastikan setiap aspek penganjuran, daripada operasi perlawanan, penyiaran, perkhidmatan media hinggalah pengalaman penyokong, dilaksanakan mengikut standard antarabangsa yang tertinggi.

“Kami tidak sabar untuk mengalu-alukan penyokong dari Malaysia dan seluruh rantau ke Stadium Sultan Ibrahim bagi menyaksikan perlawanan yang dijangka menjadi satu detik cukup bermakna, sambil memperlihatkan keupayaan Malaysia sebagai tuan rumah kepada acara sukan bertaraf dunia,” katanya.

Perlawanan itu juga dijangka menarik ribuan penyokong dari seluruh Malaysia dan rantau Asia Tenggara, terutama peminat setia ‘The Blues’, kerana perlawanan ini menemukan salah satu kelab bola sepak paling berprestij di dunia dengan kelab profesional paling berjaya di Asia Tenggara.

Malah, pihak penganjur turut bekerjasama rapat dengan badan induk bola sepak, agensi kerajaan, penyiar rasmi, pasukan keselamatan serta rakan strategik bagi memastikan pengalaman hari perlawanan memenuhi standard antarabangsa, sama ada di dalam mahupun di luar padang.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top