Pakatan Harapan (PH) mahu menjadikan Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16 sebagai medan kebangkitan selepas gagal mempertahankan momentum pada PRN Johor baru-baru ini.
Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook berkata, kempen PRN Negeri Sembilan menandakan permulaan fasa baharu buat gabungan itu dengan fokus memperbaiki kelemahan yang dikenal pasti sepanjang kempen di Johor.
“Malam ini kita akan memulakan chapter baru. Malam ini ialah untuk kita membina momentum semula di Negeri Sembilan. Kita akan mulakan pusingan kedua.
“Pusingan pertama di Johor, kita tak berjaya. Keputusan tidak memihak kepada kita,” katanya ketika berucap pada majlis pengumuman calon PH bagi PRN Negeri Sembilan Kuala Pilah, malam tadi.
Foto: UTUSAN/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN
Loke berkata, kekalahan di Johor tidak seharusnya melemahkan semangat jentera parti, sebaliknya dijadikan pengajaran untuk menghadapi cabaran seterusnya.
“Lama begitu, tidak ada ruang dan masa untuk kita berduka cita.
“Tidak ada masa untuk kita rasakan bahawa kita tertewas. Mula malam ini, kita akan mulakan pusingan kedua di Negeri Sembilan,” ujarnya.
Beliau turut menyifatkan Negeri Sembilan sebagai kubu kuat PH dan yakin gabungan itu mampu memperoleh mandat untuk membentuk kerajaan negeri.
“Negeri Sembilan ini ialah home ground kita. Jadi Negeri Sembilan, kita pastikan Pakatan Harapan menang di Negeri Sembilan dan tubuhkan kerajaan negeri,” tegas Loke.
Dalam masa sama, Loke berkata, pengalaman sepanjang PRN Johor akan dimanfaatkan bagi memperkemaskan gerak kerja dan strategi kempen di Negeri Sembilan.
“Kalau ada kekurangan di Johor, kita lihat bagaimana kita tambah baik di Negeri Sembilan. Malam ini, kita memberikan satu halatuju yang cukup jelas,” katanya.
Dalam majlis sama, Pengerusi PH Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan senarai calon yang mewakili PH bagi 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dipertandingkan.
Terdahulu, pada PRN Johor ke-16, Barisan Nasional (BN) berjaya memperoleh 49 daripada 56 kerusi DUN yang dipertandingkan.
Sumber: Facebook Pakatan Harapan




