SEBUAH petisyen dalam talian yang menggesa Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) menyingkirkan Argentina daripada saingan Piala Dunia 2026 dilaporkan telah meraih lebih enam juta tandatangan ketika kontroversi terus membayangi perjalanan skuad juara bertahan itu.
Petisyen tersebut diterbitkan menerusi laman sesawang argentinaout.com, namun laman berkenaan tidak mempunyai sebarang hubungan rasmi dengan FIFA mahupun mana-mana persatuan bola sepak kebangsaan.
Menerusi kandungan petisyen itu, Argentina didakwa memperoleh layanan yang memihak daripada FIFA serta pengadil sepanjang kejohanan. Susulan dakwaan berkenaan, penyokong petisyen menuntut agar Lionel Messi bersama rakan sepasukannya disingkirkan daripada kejohanan bagi memastikan persaingan berlangsung secara adil.
“FIFA dan pengadil jelas memihak kepada Lionel Messi serta Argentina. Jika juara sudah ditentukan, mengapa pasukan lain masih perlu beraksi? Singkirkan Argentina daripada Piala Dunia dan berikan peluang yang sama rata kepada semua pasukan,” menurut kenyataan yang dipaparkan di laman tersebut.
Sehingga jam 7 malam semalam, petisyen itu dilaporkan telah menerima lebih enam juta tandatangan daripada pengguna internet.
Bagaimanapun, kesahihan serta kredibiliti laman sesawang berkenaan tidak diiktiraf oleh mana-mana badan rasmi. Selain itu, petisyen tersebut tidak mempunyai sebarang kuasa dari sudut perundangan atau memberi kesan terhadap keputusan FIFA.
Sebarang keputusan berkaitan kelayakan sesebuah pasukan untuk terus beraksi di Piala Dunia adalah di bawah bidang kuasa sepenuhnya FIFA.
Setakat ini, Argentina kekal dijadualkan menentang England dalam aksi separuh akhir Piala Dunia 2026 yang akan berlangsung di Atlanta, awal pagi esok.



