am@hmetro.com.my
Georgetown: Jenayah terancang pada masa kini bukan lagi sekadar kegiatan haram biasa sebaliknya berevolusi menjadi entiti perniagaan tersusun yang memanfaatkan teknologi moden, rangkaian antarabangsa dan kepakaran profesional demi memaksimumkan keuntungan.
Ketua Pengarah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS), Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain, berkata sindiket jenayah terancang moden turut membentuk ekosistem tersendiri sehingga membolehkan operasi kumpulan penjenayah terbabit berkembang secara sistematik merentasi sempadan geografi dan negara.
“Satu perkara yang jelas tentang jenayah terancang ialah ia adalah satu aktiviti perniagaan. Jenayah adalah sebuah entiti perniagaan. Mereka tidak perlu mematuhi konsep kedaulatan, prosedur demokrasi mahupun instrumen dan institusi politik kerajaan. Mereka mempunyai peraturan mudah mereka sendiri yang dipatuhi sesama mereka.
“Suatu ketika dahulu, seorang penjenayah perlu merentas sempadan untuk melakukan jenayah di negara lain tetapi hari ini mereka boleh menyerang mangsa di negara lain, mencuci wang di dua negara berbeza, menggunakan infrastruktur yang dihoskan di empat buah negara lain dan hilang ghaib sebelum matahari terbit, tiada apa yang bergerak melainkan maklumat.
“Jenayah hari ini tidak lagi mempunyai sempadan, kurang bersifat fizikal, bersifat tanpa nama dan mempunyai akses kewangan lebih luas tanpa sekatan. Titik pentingnya di sini bukanlah teknologi itu sendiri tetapi hakikat bahawa ia telah terpisah daripada batasan fizikal,” katanya.
ketika berucap pada Persidangan Ke-17 Persatuan Kriminologi Asia (ACS) 2026 di sini, tadi.
Mohd Shuhaily pada persidangan bertema Sorotan Kontemporari Trend dan Corak Jenayah: Impak Kriminologi itu berkata, pusat penipuan kini muncul sebagai entiti jenayah yang semakin kukuh didorong jenayah siber seperti pemancingan data, perisian ‘malware’ dan pengklonan suara berasaskan AI yang semakin mudah dilaksanakan.
Beliau berkata, penjenayah lebih pantas menyesuaikan diri dengan perubahan teknologi berbanding kerajaan kerana mereka tidak terikat dengan prosedur pentadbiran atau perolehan rumit dengan kumpulan jenayah terancang hanya memberi tumpuan kepada tiga perkara utama iaitu inovasi, kerjasama dan membina kepercayaan terhadap platform digunakan bagi memastikan operasi mereka terus berkembang.
“Bagi penjenayah, pasaran mereka kini menjadi lebih besar daripada sebelumnya. Maka, aktiviti menyeludup barang kontraband, dadah, senjata, bahan terlarang dan pemerdagangan manusia menjadi lebih mudah dengan adanya transaksi tanpa nama yang berlaku di ‘dark web’ dan ini bakal menjadi perniagaan yang sangat menguntungkan dengan risiko yang rendah buat mereka.
“Aktiviti haram ini menjadi semakin rumit bagi negara seperti Malaysia yang mempunyai sempadan yang agak terbuka, beribu-ribu kilometer sempadan laut dan ratusan jalan pintas serta lorong tikus namun bagi penjenayah dan sindiket jenayah terancang, bahasa rasmi untuk mereka bekerjasama adalah sangat mudah iaitu maksimumkan keuntungan,” katanya.
Tambahnya, penjenayah pada masa kini turut menyerahkan kerja jenayah mereka kepada pihak luar dengan menggajikan syarikat pengklonan dan syarikat pengaturcaraan dan ironinya, golongan yang menerima pekerjaan itu kadangkala tidak sedar bahawa mereka sedang melakukan jenayah kerana apa yang dilakukan adalah aktiviti berasaskan perkhidmatan.
“Ini kerana apabila ada pembiaya menawarkan peluang teknikal kepada graduan baharu, golongan penganggur, mahupun juruteknik berpengalaman, peluang seperti ini akan menjadi alternatif kepada pasaran kerja terutamanya di negara yang menghadapi kadar pengangguran yang tinggi atau negara yang mengalami krisis ekonomi,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




