JOHOR BAHRU – Pilihan Raya Negeri Sembilan ke-9 (PRN9) dijangka menjadi titik noktah kepada segala kemelut politik yang berlaku di negeri itu apabila keputusan rakyat melalui peti undi bakal menentukan hala tuju pentadbiran negeri.
Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim berkata, penyertaan semua parti politik dalam PRN berkenaan secara tidak langsung menunjukkan pengiktirafan terhadap proses pilihan raya serta keabsahan kerajaan negeri sebelum pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN).
“Dengan menyertai PRN tersebut, maka semua parti-parti politik yang bertanding termasuk Pakatan Harapan ( PKR, DAP dan Amanah); BN dan PN melalui tindakan mereka itu (by conduct), dari segi undang-undang telah mengiktiraf sepenuhnya Pilihanraya Negeri Sembilan ini yang Hari Mengundi pada hari Sabtu 01 Ogos 2026.
“Dengan mengiktiraf PRN Negeri Sembilan ia membawa makna semua parti-parti politik itu mengiktiraf keabsahan Kerajaan Negeri Sembilan pimpinan Menteri Besar Aminuddin Harun sebelum pembubaran DUN Negeri Sembilan,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Menurut Hassan, Aminuddin merupakan individu yang menasihati Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir supaya DUN dibubarkan pada 4 Jun lalu.
Katanya, tindakan Tuanku Muhriz memperkenankan pembubaran DUN serta memberi laluan kepada PRN9 turut memperlihatkan pengiktirafan terhadap peranan institusi Raja Berperlembagaan negeri itu.
“Dengan memasuki PRN Negeri Sembilan semua parti politik yang bertanding juga telah mengiktiraf legitimasi Tuanku Muhriz sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan yang sah,” katanya.
Hassan berkata, selepas PRN Negeri Sembilan selesai, segala pergolakan politik, perebutan kuasa dan pertikaian yang mengheret institusi adat Minangkabau di Negeri Sembilan diharap dapat terlerai.
“Segala pergolakan yang berlaku di ruang istana, koridor kuasa dan Dewan Negeri akhirnya akan diselesaikan di peti undi. Begitulah cantiknya demokrasi,” katanya.
PRN Negeri Sembilan menyaksikan penamaan calon pada Sabtu ini, manakala hari mengundi pada 1 Ogos.



