Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah memohon Polis Antarabangsa (Interpol) mengeluarkan notis merah terhadap aktivis Tamim Dahri Abdul Razak bagi mengesan dan membawanya pulang ke Malaysia untuk membantu siasatan kes provokasi agama.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, permohonan berkenaan dikemukakan kepada Interpol pada 8 Jun lalu selepas PDRM terlebih dahulu memohon pembatalan pasport suspek.
Menurut beliau, semakan rekod pergerakan keluar masuk negara bersama Jabatan Imigresen Malaysia mendapati Tamim Dahri masih berada di luar negara.
“Bagi tujuan mengesan dan membawa balik suspek, PDRM sudah memohon pembatalan pasport suspek dan kemudiannya telah mengemukakan permohonan red notice kepada pihak Interpol pada 8 Jun lalu,” katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat.

Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan RSN Rayer (PH-Jelutong) berhubung status tindakan PDRM mengesan Tamim Dahri.
Saifuddin berkata, langkah berkenaan diambil bagi membolehkan pihak berkuasa mengesan keberadaan suspek serta membawa pulang individu terbabit ke Malaysia untuk tindakan lanjut.
Pada 17 Mac lalu, Mahkamah Majistret Langkawi menangguhkan prosiding pertuduhan terhadap Tamim Dahri selepas dimaklumkan bahawa lelaki itu dikesan berada di Riyadh, Arab Saudi.

Artikel lain: Ramanan cabar Zambri Vinoth & Tamim Dahri pulang ke Malaysia -“Kalau tak salah, baliklah”
Dalam prosiding berkenaan, pihak pendakwaan memaklumkan Tamim Dahri dipercayai meninggalkan Malaysia melalui Bukit Kayu Hitam menuju ke Thailand pada 9 Mac sebelum dikesan berada di Arab Saudi menerusi Lapangan Terbang Antarabangsa Bangkok.
Bagaimanapun, pihak pendakwaan memaklumkan masih belum dapat mengesahkan sama ada suspek memasuki Arab Saudi menggunakan visa pelancong atau visa umrah.
Pada 17 Mei lalu, mahkamah turut mengeluarkan waran tangkap terhadap Tamim Dahri.

Tamim Dahri berdepan pertuduhan mengikut Seksyen 295 Kanun Keseksaan kerana didakwa merosakkan objek soolam yang merupakan simbol suci penganut Hindu di tapak lama sebuah kuil di Langkawi.
Sumber: NST (Mahani Ishak)




