Warga asing maut, 11 ditahan akan didakwa esok

Warga asing maut, 11 ditahan akan didakwa esok

am@hmetro.com.my

Johor Bahru: Polis menahan lapan lelaki warga asing dan tiga warga tempatan termasuk wanita, susulan kes pembunuhan lelaki warga asing yang ditemui berlumuran darah di kaki lima kedai di Taman Universiti, Skudai di sini.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Radin Ramlan Radin Taha berkata, pihaknya menerima panggilan awam yang memaklumkan kejadian pada 2.27 pagi, 28 Jun lalu membabitkan mangsa berusia 33 tahun.

“Mangsa dibawa ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) untuk menerima rawatan sebelum disahkan meninggal dunia pada 10.23 malam, 4 Julai lalu selepas lapan hari dirawat.

“Bedah siasat yang dijalankan pada 5 Julai mengesahkan punca kematian mangsa adalah akibat kecederaan tumpul di kepala,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata, kes yang pada awalnya disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan parah menggunakan senjata kemudian diklasifikasikan semula mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan selepas kematian mangsa.

Menurutnya, hasil risikan dan maklumat yang diperoleh, pasukan Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Johor Bahru Utara bersama Jabatan Siasatan Jenayah (D9) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor melancarkan beberapa serbuan antara 5 hingga 6 Julai lalu.

Katanya, dua lelaki dan seorang wanita warga tempatan berusia antara 36 hingga 37 tahun yang juga majikan mangsa telah ditahan, selain lapan lelaki warga asing berusia antara 26 hingga 41 tahun yang merupakan rakan sekerja serta kenalan mangsa.

“Tangkapan dibuat di sekitar Skudai, Taman Bukit Indah, Ayer Keroh di Melaka dan Ampang, Kuala Lumpur. Polis turut merampas beberapa barangan bagi membantu siasatan.

“Hasil semakan mendapati semua suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau, manakala ujian saringan air kencing mendapati kesemua mereka negatif dadah,” katanya.

Radin Ramlan berkata, salah seorang daripada warga asing itu akan didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh di Mahkamah Majistret di sini, esok.

“Manakala, tiga warga tempatan itu pula akan didakwa mengikut Seksyen 201 Kanun Keseksaan kerana melupuskan keterangan, menyembunyikan bukti atau memberikan maklumat palsu dengan niat melindungi pesalah daripada hukuman,” katanya.

Katanya, tujuh lagi lelaki warga asing akan didakwa mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen kerana memasuki dan tinggal di negara ini tanpa dokumen perjalanan, pas atau permit yang sah.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top