am@hmetro.com.my
Kluang: Murid lelaki tahun satu maut selepas dipercayai dilanggar sebuah bas sekolah di Taman Sri Lalang, di sini, hari ini.
Dalam kejadian jam 4.20 petang, mangsa berusia tujuh tahun disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala.
Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh, berkata siasatan awal mendapati bas sekolah jenis Hino dipandu wanita tempatan berusia 36 tahun sebelum itu menurunkan mangsa di Jalan Bunga Raya.
Menurutnya, sebaik menurunkan mangsa, pemandunya mahu membelok ke Jalan Bunga Raya 3 sebelum melanggar murid terbabit yang ketika itu berada di sebelah kiri jalan.
“Akibat pelanggaran, mangsa terjatuh dan cedera parah di kepala sebelum disahkan meninggal dunia,” katanya dalam kenyataan.
Katanya, sejurus kemalangan itu, pemandu bas terbabit mengalami trauma dan pengsan di tempat kejadian.
“Pemandu bas masih dirawat di hospital dan ujian saringan air kencing akan dijalankan sebaik dia keluar dari hospital.
“Siasatan lanjut masih dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kemalangan itu diminta menghubungi mana-mana balai polis berhampiran atau Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kluang bagi membantu siasatan,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




