‘Rakyat Negeri Sembilan terlalu rindu kepada BN untuk memerintah’ – Ahmad Zahid

‘Rakyat Negeri Sembilan terlalu rindu kepada BN untuk memerintah’ – Ahmad Zahid

SEREMBAN – Rakyat di Negeri Sembilan semestinya merindui Barisan Nasional(BN) untuk memerintah negeri itu semula.

Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, kerajaan negeri di bawah pimpinan Menteri Besar daripada parti itu sebelum ini telah pun membawa pelbagai kemajuan.

“Kita ucapkan tahniah Negeri Sembilan di bawah kepimpinan Tok Mat (Datuk Seri Mohamad Hasan) dahulu adalah di antara negeri yang termaju di negara ini, begitu juga pemimpin BN yang jadi Menteri Besar sebelum itu telah membawa kemajuan kepada Negeri Sembilan.

“Wahai jentera BN, rakyat sedang rindu kepada BN untuk kembali memerintah. Rakyat terlalu rindu kepada BN, balaslah kerinduan itu dengan bekerja dan memberikan harapan kepada mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Jentera BN Pilihan Raya Negeri(PRN) Negeri Sembilan dan Pengumuman Calon di pekarangan Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi di sini malam Rabu.

Ahmad Zahid turut menyatakan keyakinan bahawa negeri-negeri yang berada di bawah pimpinan BN akan menjadi sebagai negeri yang paling ke hadapan sekali gus menjadi faktor utama rakyat memilih parti terbabit.

Jelasnya, sekiranya parti itu berjaya mengambil alih semula kerajaan, asas pembangunan yang dipasakkan akan dihidupkan semula.

“Kita mesti pastikan Negeri Sembilan kembali dipimpin oleh sebuah kerajaan yang lebih berwibawa, berpengalaman, diyakini rakyat dan mampu melangkah lebih jauh.

“Ini bukan masanya untuk kita berperang sesama sendiri. Ini bukan masanya untuk kita berpecah belah. Hari ini maruah kita menjadi taruhan. Hari ini masa depan BN sedang dipertaruhkan,” katanya.

Dalam pada itu beliau berharap semua jentera dan ahli parti dapat menerima dengan hati terbuka barisan calon yang telah diumumkan.

“Saya tahu ada yang kecil hati dengan Tok Mat, Tok Jalal, ramai kecil hati kepada saya. Saya minta maaf kerana tidak dapat memenuhi harapan 100 peratus.

“Yang kita pilih bukan calon yang kita sukai saja. Yang kita pilih ialah calon BN, calon yang mewakili parti kita, calon yang akan menangkan BN di Negeri Sembilan,” katanya.

 

Scroll to Top