Martinez sudah bermimpi jadi wira Argentina

Martinez sudah bermimpi jadi wira Argentina

Atlanta: Lautaro Martinez mendedahkan dia sudah bermimpi akan muncul wira Argentina apabila meledak gol kemenangan yang membawa juara bertahan itu ke final Piala Dunia selepas menewaskan England 2-1 pada aksi separuh akhir, awal pagi tadi.

Penyerang berusia 28 tahun itu berkata, dia lebih awal memberitahu Alexis Mac Allister bahawa dia akan menjaringkan gol sebaik dimasukkan sebagai pemain gantian pada penghujung perlawanan di Stadium Mercedes-Benz.

“Saya bermimpi mengenainya. Saya beritahu Alexis bahawa saya akan menjaringkan gol.

“Saya juga cakap kepada Facundo Medina di bangku simpanan bahawa saya akan masuk dan menjaringkan gol,” katanya.

Argentina yang ketinggalan 0-1 memasukkan Martinez menggantikan pertahanan kiri, Nicolas Tagliafico pada minit ke-81.

Lionel Messi kemudian mencipta peluang kepada Enzo Fernandez untuk gol penyamaan pada minit ke-85 sebelum kapten Argentina itu melakukan hantaran lintang yang disudahkan Martinez menerusi tandukan pada minit kedua masa kecederaan.

“Dari kali pertama ayah membelikan saya sepasang but bola sepak, saya sentiasa bermimpi untuk menjaringkan gol seperti ini,” kata Martinez dalam nada penuh emosi.

Selesai meninggalkan bilik persalinan, Martinez berkata dia baru saja bercakap melalui telefon dengan ibunya yang sedang bekerja ketika perlawanan berlangsung.

Martinez kehilangan tempat dalam kesebelasan utama kendalian Lionel Scaloni pada awal kempen Piala Dunia 2022, namun kembali memulakan semua aksi peringkat kumpulan kali ini dan menjaringkan gol ketika Argentina menewaskan Jordan 3-1.

Dia kemudian dikeluarkan ketika kemenangan tipis ke atas Cape Verde pada pusingan 32 terbaik dan tidak lagi disenaraikan dalam kesebelasan utama, namun tetap memberi impak besar apabila menjaringkan gol ketika Argentina menewaskan Switzerland 3-1 selepas masa tambahan pada suku akhir sebelum sekali lagi muncul wira ketika bertemu England.

Argentina kini bakal berdepan Sepanyol pada final Ahad ini di New Jersey.

“Kami akan berdepan pasukan hebat yang tidak kalah dalam 38 perlawanan dan memiliki ramai pemain berkualiti.

“Ketika ini kami perlu berehat, tetapi pada masa sama menikmati detik ini kerana apa yang kami lakukan bukan sesuatu yang mudah. Kami kembali ke final sebagai juara bertahan tiga setengah tahun selepas memenangi Piala Dunia,” katanya.

Kekalahan terakhir Sepanyol ialah 0-1 kepada Colombia dalam aksi persahabatan pada Mac 2024.

Kedua-dua pasukan sepatutnya bertemu dalam aksi Finalissima di Qatar pada Mac lalu, namun perlawanan yang menemukan juara Eropah dan juara Copa America itu ditangguhkan susulan perang di Asia Barat yang tercetus akibat serangan Amerika Syarikat dan Israel ke atas Iran.

Satu-satunya pertemuan Argentina dan Sepanyol di pentas Piala Dunia berlaku pada 1966 apabila wakil Amerika Selatan itu menang 2-1 pada aksi peringkat kumpulan di Villa Park, Birmingham.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top