am@hmetro.com.my
Tawau: Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Sabah memberi amaran tegas tidak akan berkompromi terhadap sebarang salah laku pelajar susulan insiden pergaduhan yang tular di media sosial, ketika tempoh reman lapan pelajar sebuah sekolah menengah yang ditahan bagi membantu siasatan kes itu dijadual berakhir esok.
Dalam kenyataan media hari ini, JPN Sabah memaklumkan pihaknya mengambil perhatian serius terhadap insiden yang membabitkan beberapa pelajar di luar kawasan sekolah dan menegaskan tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pelajar yang didapati bersalah selaras dengan peruntukan serta garis panduan yang berkuat kuasa.
Menurut kenyataan itu, pihak sekolah bersama Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) sudah mengambil tindakan segera dengan mengenal pasti murid yang terbabit selain menjalankan siasatan dalaman.
“Insiden ini sedang dalam siasatan pihak polis dan JPN Sabah memberi kerjasama penuh terhadap proses siasatan yang sedang berjalan,” menurut kenyataan itu.
JPN Sabah berkata, walaupun kejadian berlaku di luar kawasan sekolah, sebarang bentuk salah laku yang melibatkan pelajar tetap dipandang serius kerana bukan sahaja mencemarkan imej institusi pendidikan, malah boleh menjejaskan keselamatan dan kesejahteraan pelajar.
“JPN Sabah tidak akan berkompromi dengan insiden salah laku sedemikian dan tindakan tegas akan diambil terhadap murid yang didapati bersalah selaras dengan peruntukan dan garis panduan yang sedang berkuat kuasa,” katanya.
Semalam, Mahkamah Majistret Tawau membenarkan permohonan polis untuk menahan reman selama dua hari lapan pelajar lelaki berusia 13 dan 14 tahun bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana disyaki terbabit dalam pergaduhan dan rusuhan yang tular di media sosial.
Siasatan awal mendapati kejadian berlaku pada 10 Julai lalu di kawasan kedai Batu 5, Jalan Apas dan dipercayai tercetus susulan perselisihan berhubung penyebaran gambar serta video seksual yang dimanipulasi menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI) dengan mengedit wajah seorang lelaki dan seorang wanita.
Video berdurasi 27 saat memaparkan pergaduhan membabitkan sekumpulan pelajar sekolah menengah dengan seorang lelaki awam menggunakan topi keledar sebagai senjata itu kemudian tular menerusi aplikasi WhatsApp pada 13 Julai lalu.
Bagaimanapun, polis mengesahkan tiada kecederaan dilaporkan dalam kejadian itu selepas pergaduhan berjaya dileraikan oleh orang awam, manakala semakan di Facebook, TikTok dan Instagram tidak menemukan kandungan AI yang didakwa menjadi punca perselisihan berkenaan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




