ISTANBUL – Kor Pengawal Revolusi Islam Iran (IRGC) berkata awal Khamis, peluru berpandu dan dron pasukan itu menyerang aset tentera Amerika Syarikat (AS) di Pangkalan Udara Ali Al Salem di Kuwait, lapor Anadolu Ajansi (AA).
Dalam satu kenyataan yang disiarkan oleh media negara Iran, IRGC berkata serangan itu menyasarkan sistem radar amaran awal C-RAM dan tempat berkumpul tentera AS semasa apa yang disifatkannya sebagai gelombang kelapan operasi Nasr 2.
Menurut kenyataan itu, serangan berkenaan sebagai tindak balas kepada serangan semalaman AS ke atas bandar-bandar selatan Iran dan kawasan pantai.
IRGC turut menuduh Washington menggunakan wilayah Kuwait untuk melancarkan serangan ke atas Iran dan menyeru warga Kuwait supaya mengusir tentera AS dari negara mereka.
Sebelum ini, tentera Kuwait berkata pertahanan udaranya telah bertindak balas terhadap apa yang disifatkannya sebagai dron “musuh”, sambil menambah bahawa letupan yang kedengaran di beberapa bahagian negara itu disebabkan oleh operasi pemintasan.
Pengumuman itu dibuat di tengah-tengah ketegangan yang semakin memuncak antara AS dan Iran mengenai Selat Hormuz, dengan kedua-dua pihak bertukar serangan walaupun wujud memorandum persefahaman pengantaraan Pakistan bertujuan menamatkan konflik dan mencapai perjanjian damai. – Bernama



