sukan@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menyeru seluruh penyokong bola sepak tanah air agar terus memberikan sokongan tidak berbelah bahagi kepada skuad Harimau Malaya yang bakal memulakan cabaran dalam Kejohanan Piala Hyundai Asean 2026 bermula 24 Julai hingga 26 Ogos ini.
Menerusi kenyataan rasmi hari ini, FAM memaklumkan kejohanan itu menjadi platform penting buat skuad kebangsaan menguji kemampuan pasukan, memperkukuh keserasian dalam kalangan pemain serta meneruskan persiapan menghadapi saingan antarabangsa yang lebih mencabar pada masa depan.
“Piala Hyundai Asean 2026 adalah pentas penting buat pasukan kebangsaan untuk menguji kekuatan, memperkukuh keserasian antara pemain serta meneruskan persiapan menghadapi cabaran antarabangsa yang lebih besar pada masa akan datang.
“Malah, kejohanan ini menjadi medan terbaik buat ketua jurulatih interim, Tan Cheng Hoe, dalam usaha beliau memperkasa Harimau Malaya sebelum menghadapi Piala Asean FIFA 2026,” kata FAM.
FAM turut menegaskan kekuatan sebenar Harimau Malaya bukan hanya bergantung kepada kemampuan pemain dan barisan kejurulatihan, sebaliknya turut dipengaruhi sokongan padu daripada penyokong yang sentiasa berdiri teguh di belakang pasukan kebangsaan.
Justeru, FAM berharap seluruh rakyat Malaysia akan terus bersama-sama memberikan sokongan moral kepada Harimau Malaya agar setiap pemain dapat beraksi dengan penuh komitmen, disiplin serta semangat juang tinggi demi mengharumkan nama negara.
Untuk rekod, ketika ini berlaku gerakan boikot daripada penyokong tempatan, termasuk Ultras Malaya, yang tidak mahu hadir menyaksikan aksi membabitkan Harimau Malaya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




