'Luluh hati saya lihat Umar sudah kaku…'

'Luluh hati saya lihat Umar sudah kaku…'

am@hmetro.com.my

Kluang: Luluh hati seorang lelaki apabila melihat anak saudaranya kaku dalam keadaan terlentang dengan kepala dipenuhi darah selepas dirempuh sebuah bas tidak jauh dari rumahnya, petang semalam.

Khairul Annuar Salim, 50, yang juga bapa saudara kepada Allahyarham Muhammad Umar Mohd Faaiz, 7, antara individu terawal tiba di lokasi sebaik diberitahu anak saudaranya yang juga murid Tahun Satu, dilanggar bas ketika pulang dari Sekolah Agama Sri Lalang sekitar jam 4 petang.

Menceritakan kejadian itu, Khairul Annuar memberitahu, sebelum itu dia sedang menidurkan dua adik perempuan kembar arwah, didatangi seorang jiran memaklumkan berita sedih itu.

“Ketika itu, saya berada di rumah dan sedang tidurkan adik kembar arwah. Kebetulan ada seorang jiran dari tempat kejadian panggil saya memberitahu anak saudara saya kemalangan.

“Saya bergegas ke bawah (lokasi kejadian) untuk melihat sendiri keadaannya. Sebaik tiba, saya lihat kepalanya berlumuran darah.

“Dalam fikiran, saya rasa anak saudara sudah tiada. Dia langsung tidak bergerak ketika itu. Saya agak terkejut, tak percaya kerana masa kejadian arwah baru sahaja pulang dari sekolah.

“Saya bergegas pulang ke rumah memberitahu datuk arwah (Salim Othman, 72) dan nenek (Zaiton Shaari, 70,) barulah saya telefon ibu bapanya,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Taman Sri Lalang, di sini, hari ini.

Katanya, ibu arwah, Nurul Shahira Salim, 35, bekerja di Johor Bahru manakala bapanya, Mohd Faaiz Muran, 35, di Pelabuhan Klang, Selangor.

“Saya minta mereka segera pulang ke rumah sebaik diberitahu arwah sudah tiada,” katanya.

Menurutnya, sebelum itu, arwah tiba di rumah neneknya pada jam 2 petang sebaik pulang dari Sekolah Kebangsaan (SK) Sri Lalang sebelum bersiap-siap untuk ke sekolah agama.

“Tingkah lakunya tidak banyak berubah. Pada hari kejadian, neneknya sempat menyiapkan dia untuk ke sekolah agama dan setiap hari, arwah akan menaiki bas baik pergi mahupun pulang dari sekolah.

“Yang hairannya, pada hari kejadian arwah tidak turun di hadapan rumah neneknya yang mana ia lokasi kebiasaan (dia turun), tapi dia turun kira-kira 100 meter dari sini (rumah nenek).

“Saya tidak pasti dan mungkin arwah ikut rakannya. Apabila pasukan perubatan tiba di lokasi, mereka memberitahu arwah sudah meninggal dunia, arwah parah di kepala dan patah pinggang.

“Arwah tidak menunjukkan sebarang perubahan malah dia seorang kanak-kanak riang, suka bergurau dengan ahli keluarga,” katanya memaklumkan arwah anak sulung daripada tiga beradik.

Sementara itu, proses bedah siasat ke atas jenazah Muhammad Umar masih dijalankan di Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom dan dijangka selesai sebelum Zohor.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top