lokman.khairi@hmetro.com.my
Kuantan: Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) melaksanakan Patroli Terkoordinasi (PATKOR) MALINDO Siri 1/26 bersama Tentera Nasional Indonesia – Angkatan Udara (TNI-AU) di ruang udara Selat Melaka, semalam.
TUDM dalam kenyataan berkata, operasi itu bertujuan meningkatkan tahap pemantauan bersama dan kesiagaan operasi kedua-dua angkatan udara di kawasan strategik persempadanan Selat Melaka.
Menurutnya, ia menjadi platform penting dalam memperkukuh kerjasama dua hala secara lebih bersepadu dan strategik, sekali gus mengeratkan hubungan diplomasi pertahanan yang lama terjalin antara Malaysia dan Indonesia.
“Rondaan udara bersama ini juga berperanan sebagai ‘Show of Presence’ yang menzahirkan komitmen teguh kedua-dua negara terhadap pemeliharaan keamanan, kedaulatan dan integriti ruang udara di perairan Selat Melaka.
“Bagi rondaan kali ini, TUDM mengaturgerak tiga pesawat F/A-18D dari No. 18 Skuadron, Pangkalan Udara Kuantan dengan panggilan ‘Angkasa 108 A/B/C’ yang diterbangkan oleh Mejar Khairul Asyraf Abd Aziz bersama Kapten Ahmad Nazhan Ahmad Nazrin bagi Angkasa 108A.
“Sementara, Kapten Muhammad Amirul Adly Abdul Majid bersama Mejar Mohd Azlan Kasiah bagi Angkasa 108B dan Mejar Mohd Zahir Anuar bersama Leftenan Mohammad Alif Aiman Arhan bagi Angkasa 108C,” katanya, hari ini.
Menurut kenyataan itu lagi, bagi pihak TNI AU pula, dua pesawat F-16C dari Skuadron Udara 16 berpangkalan di LANUD Roesmin Nurjadin, Kota Pekanbaru terbabit menggunakan panggilan ‘Rydder’.
“Ia diterbangkan oleh Kapten Penerbang Wawan Setiawan bagi Rydder 1 dan Kapten Penerbang Satriya Kristanto Wicaksono bagi Rydder 2,” katanya.
TUDM memaklumkan, penyelarasan operasi turut membabitkan CRC Kuantan, panggilan ‘Kilau’, selaku Pusat Kawalan Operasi TUDM bersama Pusat Penyelarasan dan Pengurusan Ruang Angkasa Bersama (JAMCC) Sepang dan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) sebagai penyelaras ruang udara negara.
Di pihak TNI AU, Komando Sektor 1 (KOSEK 1) Medan, panggilan ‘Petir’ memainkan peranan sebagai Pusat Kawalan Operasi, memastikan keseluruhan pelaksanaan rondaan udara dilaksanakan secara teratur, selamat dan efektif.
“Selain meningkatkan tahap kesiapsiagaan operasi kedua-dua angkatan udara, pelaksanaan rondaan bersama ini turut memperkukuhkan interoperabiliti, koordinasi, dan hubungan profesional antara TUDM dan TNI-AU dalam menangani sebarang ancaman keselamatan serta aktiviti rentas sempadan yang menyalahi undang-undang di kawasan Selat Melaka.
“TUDM komited untuk terus memperkukuhkan kerjasama strategik bersama negara jiran menerusi pelaksanaan operasi bersama yang mampu meningkatkan keupayaan pertahanan udara serantau, sekali gus menyumbang kepada kestabilan dan keselamatan kawasan,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




