PDRM ucap selamat tinggal, selamat datang KRW FC ke Liga Super

PDRM ucap selamat tinggal, selamat datang KRW FC ke Liga Super

sukan@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Kelantan Red Warrior (KRW) FC sah menjadi wakil tunggal dari Liga A1 Semi-Pro yang akan beraksi dalam Liga Super musim 2026/2027 selepas memenuhi syarat ditetapkan Liga Bolasepak Malaysia (MFL), sekali gus mengisi kekosongan ditinggalkan PDRM FC yang menarik diri daripada saingan liga utama negara.

Menurut kenyataan rasmi daripada LMFL, faktor utama KRW dipilih untuk bersaing bersama pasukan elit lain kerana mereka dilihat sudah bersedia selepas berjaya melengkapkan semua dokumen bagi memenuhi kriteria kewangan untuk dipromosikan ke Liga Super.

Malah, skuad bimbingan Irfan Bakti Abu Salim itu turut mempamerkan persembahan cukup baik musim lalu apabila menduduki tangga keempat Liga A1.

Keadaan itu berbeza jika dibandingkan dengan UM Damansara United FC (keenam) dan Bunga Raya FC (ke-12) yang turut mengemukakan permohonan selepas memperoleh Lesen Kebangsaan Luar Biasa daripada FIB, namun belum memenuhi semua kriteria yang ditetapkan.

Bagaimanapun, satu lagi kelab Liga A1, Armed Forces FC tidak memohon untuk bertanding dalam Liga Super 2026/2027.

“PDRM FC sudah menghantar surat rasmi penarikan diri kepada MFL semalam dengan mengambil kira faktor mahu memberi fokus kepada penstrukturan semula pengurusan kelab.

“Kehadiran KRW FC menggantikan PDRM FC melengkapkan jumlah 12 kelab yang akan bertanding dalam Liga Super 2026/2027 iaitu juara bertahan Johor Darul Ta’zim (JDT), Kuching City FC, Selangor FC, Kuala Lumpur City FC, Terengganu FC, Star City FC yang sebelum ini dikenali sebagai Imigresen FC, Negeri Sembilan FC, Penang FC, Sabah FC, DPMM FC dan Melaka FC,” menurut kenyataan rasmi MFL, hari ini.

Penarikan diri PDRM FC bukan sesuatu yang mengejutkan kerana sebelum ini pasukan berkenaan turut terpalit dengan isu gaji dan keputusan yang diambil itu dilihat sebagai tindakan tepat demi kebaikan semua pihak.

Dengan lengkapnya 12 pasukan itu, ia dijangka dapat melancarkan sistem penjadualan liga berbanding musim lalu yang membabitkan 13 pasukan, sekali gus mengelakkan ada pasukan terpaksa menunggu lebih lama sebelum bertemu lawan seterusnya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top