TAWARAN hadiah bernilai lebih RM25,000 termasuk kerusi urut premium, penginapan hotel dan pengalaman riadah menjadi antara tarikan utama sambutan Football Fever 2026 di Resorts World Genting (RWG) sempena perlawanan akhir kejohanan bola sepak terbesar dunia.
Pengunjung yang berbelanja sekurang-kurangnya RM50 bagi pembelian makanan dan minuman berpeluang menyertai cabutan bertuah dengan hadiah utama berupa kerusi urut Zero uAlpha, selain pelbagai hadiah lain.
Menurutnya RWG, acara kemuncak, Final Kick Off Party, akan berlangsung di Aras 1, SkyAvenue dari jam 12 tengah malam hingga 3 pagi pada 20 Julai, menampilkan persembahan tiga DJ termasuk pemegang rekod Malaysia Book of Records, Ms Puiyi, selain gerai makanan, permainan interaktif dan pelbagai aktiviti untuk peminat bola sepak.
“Ahli Genting Rewards Cards boleh mendapatkan akses ke kawasan tempat duduk yang disediakan melalui penebusan gelang tangan dari jam 10 malam pada 19 Julai hingga 12 tengah malam pada 20 Julai, tertakluk kepada ketersediaan.
“Peminat stesen radio dalam talian terbaharu RWG, V On Air, bakal menikmati pengalaman istimewa apabila Ms Puiyi akan tampil di V On Air Studios, Genting Grand T3 pada 19 Julai dari jam 10 malam hingga 12 tengah malam menerusi sesi temu bual eksklusif dan persembahan secara langsung.
“Lokasi ini dibuka kepada tetamu bukan Islam berumur 21 tahun ke atas,” katanya dalam kenyataan.
Sementara itu, perlawanan akhir kejohanan pula akan disiarkan secara langsung di SkySymphony Wonderwall, sekali gus membolehkan peminat menikmati pengalaman menonton menerusi paparan multimedia berskala besar dalam suasana penuh kemeriahan.
Selain tayangan langsung, RWG turut menyediakan Kickoff Zone di Aras 4, SkyAvenue sehingga 18 Julai yang menawarkan pelbagai pengalaman bertemakan bola sepak.
Antara tarikan ialah Fast Break Zone yang membolehkan pengunjung menguji kemahiran menerusi permainan EA Sports FC 26.
Ahli Genting Rewards Cards yang berbelanja minimum RM200 dalam dua resit di premis terpilih atau RM250 bagi bukan ahli layak menyertai perlawanan satu lawan satu untuk merebut pouch rantai kunci Coca-Cola edisi eksklusif.
Pengunjung juga boleh mengunjungi Fan Locker Room Zone yang menghimpunkan lebih 100 produk gaya hidup dan koleksi Coca-Cola bertemakan bola sepak.
Bagi mereka yang meminati aksi bola sepak gaya bebas, program Keep It Street: Football Fever akan berlangsung di Eufloria Gardens & Sculpture Park pada 19 Julai.
Program tersebut menampilkan bengkel bola sepak untuk kanak-kanak berusia 10 hingga 12 tahun, selain pertandingan Under-12 Street Football 2v2 yang memberi peluang kepada pemain muda mengasah bakat mereka.
Sepanjang tempoh Football Fever 2026, pengunjung juga akan dihiburkan dengan perarakan dan persembahan tarian bertemakan bola sepak di beberapa lokasi sekitar resort.
Bagi keluarga pula, Funtopia x Genting Football Park 2026 di Pavilion Hall yang berlangsung sehingga 31 Ogos menawarkan pelbagai permainan interaktif, laluan halangan kembung serta aktiviti bertemakan bola sepak yang sesuai untuk semua peringkat umur.
Football Fever 2026 di RWG berlangsung sehingga 20 Julai, menghimpunkan tayangan langsung, hiburan, aktiviti interaktif dan ganjaran menarik dalam satu destinasi buat peminat bola sepak dan seisi keluarga.



