15 akaun pemilik Flat Hicks tertunggak cukai kena tindakan

15 akaun pemilik Flat Hicks tertunggak cukai kena tindakan

suharmin.yusuf@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) melaksanakan Operasi Sita Cukai Taksiran

membabitkan 15 akaun yang mempunyai tunggakan cukai taksiran di Flat Hicks atau dikenali sebagai ‘Shanghai Bund’ di Jalan Changkat, di sini, hari ini.

Operasi itu dilaksanakan melalui pengeluaran Waran Tahanan (Borang F) mengikut peruntukan Akta Kerajaan Tempatan 1976 (Akta 171) bagi mendapatkan semula tunggakan cukai yang masih belum dijelaskan.

DBKL dalam kenyataan memaklumkan, operasi itu akan diteruskan di lokasi yang mempunyai tunggakan cukai taksiran sebagai sebahagian usaha memperkukuh pematuhan terhadap peruntukan undang-undang.

“Sehubungan itu, semua pemilik harta disaran agar menyemak status akaun cukai taksiran masing-masing dan menjelaskan sebarang tunggakan dengan segera bagi mengelakkan tindakan penguatkuasaan diambil,” kata kenyataan itu, hari ini.

Terdahulu Harian Metro melaporkan, DBKL akan mengambil tindakan saman sekiranya pihak Badan Pengurusan Bersama (JMB) Flat Hicks Bukit Bintang didapati melanggar peraturan ditetapkan.

Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Fadlun Mak Ujud dilapor berkata, pihaknya sudah mengeluarkan dua kompaun berkaitan kebersihan kepada JMB flat berkenaan.

Sebelum ini DBKL menjalankan kerja pembersihan di bangunan terbabit dan mengeluarkan notis dan mengenakan dua kompaun terhadap JMB.

Premis usang itu kembali tular selepas video dimuat naik seorang pencipta kandungan YouTube dari Australia yang memaparkan keadaan kawasan kediaman berkenaan yang kotor dan usang sehingga menjadi perbualan ramai.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top