Atlanta: Pertahanan Argentina, Cristian Romero melabel bekas pertahanan England, Gary Neville sebagai ‘bodoh’ selepas mengkritik gandingan benteng tengahnya bersama Lisandro Martinez.
Menjelang aksi separuh akhir Piala Dunia yang menyaksikan Argentina bangkit menewaskan England 2-1, Neville menyifatkan Romero dan Martinez sebagai ‘gandingan pertahanan tengah terbaik, tetapi paling teruk di dunia’.
Kedua-dua pemain itu dilayangkan kad kuning dalam aksi penuh sengit di Atlanta, namun mereka turut memainkan peranan penting menyekat England daripada hanya mencatat dua percubaan tepat ke gawang ketika juara bertahan itu bangkit menjaringkan dua gol lewat permainan untuk melangkah ke final.
Romero dan Martinez yang masing-masing berusia 28 tahun, sudah bergandingan dalam semua aksi kecuali satu perlawanan Argentina di Piala Dunia kali ini, sekali gus membantu skuad kendalian Lionel Scaloni mara ke final buat edisi kedua berturut-turut.
“Satu-satunya perkara yang saya harapkan ialah apabila saya bersara nanti, saya tidak akan jadi sebodoh itu. Harapnya saya tidak akan mengkritik mana-mana pemain atau sesiapa pun.
“Pada akhirnya, kami hanya melakukan yang terbaik untuk negara. Ada masanya kami berjaya, ada masanya tidak, tetapi kami gembira dapat mara ke final Piala Dunia sekali lagi,” katanya kepada DSports.
Menurut pertahanan Tottenham Hotspur itu, skuad Argentina kini sedang mencipta sejarah dan menyedari betapa besarnya tanggungjawab menyarung jersi kebangsaan.
“Saya fikir kami sedang mencipta sejarah. Bagi kami, ia sesuatu yang amat besar dan kami merasakan nilai jersi ini lebih daripada orang lain,” katanya.
Sementara itu, pertahanan Manchester United, Martinez turut mempertahankan gandingan mereka.
“Kami sudah biasa orang bercakap mengenai kami. Nampaknya mereka memang suka berbuat demikian, dan kami membalasnya di atas padang. Itu sahaja, sentiasa dengan penuh hormat,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




