Dallas: Donald Trump bersedia untuk muncul di pentas Piala Dunia dengan menghadiri perlawanan akhir Ahad ini yang menampilkan Lionel Messi dan Lamine Yamal, lapor Agensi Akhbar Jerman (dpa).
Selain campur tangan beliau dalam kontroversi kad merah melibatkan penyerang Amerika Syarikat (AS), Folarin Balogun, presiden AS itu menjauhkan diri daripada kejohanan yang diperluaskan di AS, Kanada, dan Mexico ini serta tidak menghadiri satu pun perlawanan setakat ini.
Kebimbangan bahawa Piala Dunia akan dibayangi oleh Trump tidak menjadi kenyataan.
Bagaimanapun pada Ahad ini, pada perlawanan akhir antara Sepanyol dan Argentina di East Rutherford, New Jersey, kelibat orang paling berkuasa di dunia itu tidak dapat dielakkan.
Trump tidak sekadar berdiri di samping Presiden FIFA, Gianni Infantino dan bersalaman serta mengucapkan tahniah bersama wakil bola sepak dunia yang lain seperti kebiasaan sebelum ini.
Hanya sebulan selepas ulang tahun kelahirannya yang ke-80, Trump dijadualkan menyampaikan trofi emas kepada kapten pasukan yang menang – sama ada Messi dari Argentina atau Rodri dari Sepanyol – memetik kenyataan Presiden FIFA, Gianni Infantino.
Infantino mewujudkan Hadiah Keamanan FIFA untuk Trump dan menyerahkannya dengan penuh gilang-gemilang semasa undian Piala Dunia, berserta pingat yang dikalungkan sendiri oleh Trump ke lehernya.
“Ini salah satu penghormatan terbesar dalam hidup saya,” kata Trump ketika itu.
Replika trofi Piala Dunia kini berada di Rumah Putih.
Apabila Trump bertanya kepada FIFA bila mereka mahu mengambil semula trofi yang dipamerkan di Pejabat Oval daripada kejohanan musim panas lepas, beliau memaklumkan bahawa pihak FIFA memberitahunya: “Anda boleh menyimpannya selama-lamanya. Kami akan buat yang baharu.”
Panggilan telefon Trump kepada Infantino yang mencadangkan semakan semula kad merah penyerang Balogun menjadi kontroversi terbesar Piala Dunia kali ini, biarpun Trump dan Infantino berkeras bahawa presiden FIFA tidak mempunyai kaitan dengan keputusan membatalkan penggantungan berkenaan.
Ini bukan kali pertama penyampaian trofi FIFA dikendalikan oleh Trump.
Setahun lalu, beliau turut hadir ke stadium NFL yang dikongsi oleh New York Giants dan New York Jets untuk menyaksikan perlawanan akhir Piala Dunia Kelab antara Paris Saint-Germain dan Chelsea sebelum menyerahkan trofi kepada kapten Chelsea, Reece James.
Presiden itu kemudian kekal berada di atas pentas biarpun bertentangan dengan protokol. Sambil memegang trofi, Reece pada mulanya memandang Trump dengan penuh tanda tanya sebelum akhirnya menjulang piala ke udara untuk meraikan kemenangan bersama pemain Chelsea yang lain di keliling Trump.
Oleh itu, tidak mustahil juara dunia baharu nanti terpaksa berkongsi foto kemenangan pertama mereka dengan presiden AS berkenaan.
Peminat juga ralat dengan pengumuman FIFA bahawa Jennifer Hudson akan menyanyikan lagu kebangsaan AS sebelum perlawanan bermula.
Di pentas Super Bowl, acara ini menjadi detik emosi dan sebahagian daripada standard sukan Amerika, sama seperti sebelum perlawanan biasa NBA.
Namun di pentas Piala Dunia FIFA, lagu kebangsaan negara tuan rumah biasanya tidak dimasukkan dalam istiadat perlawanan.
Keadaan berbeza berlaku di AS. Setakat ini, lagu kebangsaan dimainkan melalui sistem siar raya sekitar sejam sebelum sepak mula dan kurang mendapat perhatian – kecuali semasa perlawanan pasukan AS dan perlawanan pada Hari Kemerdekaan, 4 Julai.
Kini Hudson dijadualkan menyampaikan lagu kebangsaan secara langsung sebelum sepak mula di Stadium New York–New Jersey. Trump berkemungkinan besar akan berdiri di kawasan tempat duduk khas sambil memberi tabik hormat.
Pemandangan ini sudah biasa bagi peminat sukan Amerika daripada acara Super Bowl yang dihadiri Trump secara langsung di New Orleans setahun setengah lalu selaku presiden AS pertama yang berbuat demikian ketika masih berkhidmat.
Ia juga mengimbau kembali aksi Final NBA apabila beliau menghadiri Perlawanan ke-3 siri antara San Antonio Spurs dan New York Knicks di Madison Square Garden – secara kebetulan, satu-satunya perlawanan yang menyaksikan kekalahan Knicks dalam perjalanan mereka menuju kejuaraan.
Detik yang sepatutnya menyatukan semua pihak akhirnya bertukar menjadi situasi yang memaparkan perpecahan politik di AS.
Setiap kali Trump muncul di skrin gergasi stadium, sorakan ejekan yang diterima adalah sama banyak dengan sorakan sokongan. Trump juga tidak boleh mengharapkan kasih sayang yang besar daripada peminat Sepanyol dan Argentina.
© New Straits Times Press (M) Bhd




