Dua rakyat Malaysia ditahan di Hong Kong bawa dadah dalam 3 hari

Dua rakyat Malaysia ditahan di Hong Kong bawa dadah dalam 3 hari

am@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Dua rakyat Malaysia ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Hong Kong dalam tempoh tiga hari selepas disyaki membawa kokain dan bunga ganja.

Dalam kes pertama pada 7 Julai lalu, seorang lelaki berusia 21 tahun ditahan selepas kira-kira satu kilogram bahan disyaki kokain ditemukan di dalam kasut yang dipakainya.

Kastam Hong Kong berkata, lelaki itu tiba di Hong Kong dengan penerbangan dari Kuala Lumpur sebelum diperiksa ketika melalui proses pelepasan kastam.

“Pegawai kastam menemukan bahan disyaki kokain di dalam kasut yang dipakai lelaki berkenaan sebelum dia ditahan.

“Dadah itu dianggarkan bernilai kira-kira HK$800,000 (RM416,000),” katanya dalam kenyataan.

Menurut kenyataan itu, lelaki berkenaan kemudian didakwa atas satu pertuduhan mengedar dadah berbahaya.

Kesnya ditetapkan untuk sebutan di Mahkamah Majistret Kowloon Barat pada 8 Julai lalu.

Dua hari kemudian, seorang lagi lelaki Malaysia berusia 19 tahun ditahan di lapangan terbang sama bersama tiga kilogram bahan disyaki bunga ganja bernilai kira-kira HK$500,000 (RM260,000).

Remaja berasal dari Sarawak itu tiba dari Kuala Lumpur menerusi Singapura sebelum dadah berkenaan ditemukan di dalam bagasi berdaftarnya.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan, sebelum ini mengesahkan pihaknya menerima maklumat mengenai penahanan remaja terbabit daripada pihak berkuasa Hong Kong.

“Suspek tidak mempunyai rekod kesalahan di Malaysia dan dipercayai direkrut sindiket sebagai keldai dadah,” katanya ketika dihubungi.

Kastam Hong Kong berkata, pihaknya akan terus mempertingkat penguatkuasaan terhadap kegiatan pengedaran dadah menerusi analisis risikan.

Menurutnya, pendekatan penilaian risiko turut digunakan dengan memberi tumpuan kepada pemeriksaan penumpang dari kawasan berisiko tinggi bagi membanteras pengedaran dadah rentas negara.

Orang ramai turut diingatkan supaya tidak menerima tawaran atau arahan pihak lain untuk membawa barangan terkawal masuk atau keluar dari Hong Kong bagi mendapatkan ganjaran wang.

Mengikut Ordinan Dadah Berbahaya Hong Kong, pengedaran dadah berbahaya adalah kesalahan serius yang boleh dihukum denda maksimum HK$5 juta (kira-kira RM2.6 juta) dan penjara seumur hidup, jika sabit kesalahan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top