RUU Statistik 2026 dilulus, perkukuh tadbir urus data negara

RUU Statistik 2026 dilulus, perkukuh tadbir urus data negara

KUALA LUMPUR: Rang Undang-Undang (RUU) Statistik 2026 yang bertujuan memperkukuh tadbir urus data negara serta memperkasakan penggubalan dasar berasaskan bukti diluluskan di Dewan Rakyat hari ini.

RUU tersebut yang mengandungi 22 fasal akan menggantikan Akta Perangkaan 1965 (Akta 415) yang menjadi asas perundangan statistik negara sejak lebih 60 tahun lalu.

Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd. Nasir berkata, RUU itu bukan sekadar memperbaharui undang-undang sedia ada, malah memperkukuh keupayaan negara menghasilkan statistik rasmi yang lebih terselaras, berkualiti dan diyakini.

“Data yang baik mesti membawa kepada dasar yang lebih tepat, perkhidmatan yang lebih berkesan dan manfaat yang nyata kepada rakyat,” katanya ketika menggulung perbahasan RUU Statistik 2026 di Dewan Rakyat hari ini.

Menurut beliau, antara intipati utama RUU tersebut ialah memperincikan fungsi Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), penubuhan Majlis Statistik Negara, kaedah pengumpulan serta permintaan data, penerbitan dan komunikasi statistik, perlindungan kerahsiaan data, kuasa membuat peraturan serta pemansuhan Akta Perangkaan 1965.

Katanya, RUU itu turut memperkukuh tadbir urus Sistem Statistik Negara melalui penyelarasan aktiviti statistik merentas kementerian dan agensi selain menyeragamkan konsep, definisi, kod, klasifikasi, standard serta metodologi.

“DOSM akan berperanan sebagai penyelaras penghasilan statistik rasmi negara selain menjadi pusat repositori data dan statistik negara,” katanya.

Beliau bagaimanapun menegaskan, RUU tersebut tidak mengambil alih atau mengubah bidang kuasa mana-mana kementerian dan agensi, sebaliknya setiap kementerian dan agensi kekal sebagai pemilik data pentadbiran, pemilik domain serta peneraju statistik sektoral masing-masing.

Jelasnya, penyelarasan oleh DOSM bertujuan memastikan data dapat digunakan secara lebih teratur, bersepadu dan konsisten bagi menghasilkan statistik rasmi yang berkualiti.

Dalam pada itu, penggunaan data pentadbiran secara lebih optimum dijangka dapat mengurangkan pertindihan pengumpulan data, meringankan beban responden serta menjimatkan kos, masa dan sumber.

Katanya, pembekalan dan penggunaan data akan terus tertakluk kepada undang-undang, peraturan keselamatan serta mekanisme perlindungan yang sedang berkuat kuasa.

“Perlindungan kerahsiaan data dan identiti responden kekal menjadi prinsip utama. Maklumat individu, isi rumah atau pertubuhan yang diperoleh bagi tujuan statistik tidak boleh didedahkan atau digunakan bagi tujuan lain selain yang dibenarkan oleh undang-undang,” katanya.

Akmal berkata, RUU Statistik 2026 digubal hasil penilaian dasar yang dilaksanakan sejak 2016 menerusi tujuh sesi libat urus melibatkan kementerian, jabatan, kerajaan negeri, pihak berkuasa tempatan, institusi akademik, pemain industri dan sektor swasta.

Menurut beliau, penggubalan RUU itu turut mengambil kira piawaian statistik antarabangsa, amalan terbaik global serta perkembangan semasa dalam ekosistem data.

Katanya, kelulusan RUU tersebut mencerminkan komitmen kerajaan untuk membangunkan Sistem Statistik Negara yang lebih terselaras, berintegriti dan responsif sekali gus memperkukuh penggubalan dasar berasaskan bukti, penyampaian perkhidmatan awam serta perancangan pembangunan negara. – UTUSAN

Scroll to Top