Pakatan Harapan (PH) Melaka mengumumkan keputusan muktamad untuk menarik diri daripada pentadbiran Kerajaan Negeri susulan pendirian gabungan itu yang menolak pindaan Enakmen Perlembagaan Negeri Melaka bagi mewujudkan jawatan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) lantikan.
Keputusan tersebut disahkan selepas kepimpinan PH Melaka mengadakan mesyuarat bersama semua ADUN gabungan itu hari ini.
Tindakan dibuat berlandaskan prinsip
Menurut kenyataan bersama yang ditandatangani Pengerusi PH Melaka, Adly Zahari; Pemangku Pengerusi Majlis Pimpinan Keadilan Melaka, Adam Adli Abdul Halim; Pengerusi DAP Melaka, Khoo Poay Tiong dan Pengerusi Amanah Melaka, Datuk Ashraf Mukhlis Minghat, tindakan itu dibuat berlandaskan prinsip demokrasi.
“Penarikan diri daripada Kerajaan Negeri ini adalah selaras dengan prinsip dan amalan demokrasi bahawa apabila seseorang Exco atau ADUN tidak lagi menyokong sesuatu usul oleh Kerajaan Negeri di Dewan Undangan Negeri, adalah tidak layak lagi bagi Exco atau ADUN tersebut menerima keistimewaan dan kemudahan Kerajaan Negeri,” menurut kenyataan itu.
Dalam masa sama, PH Melaka turut memutuskan semua Ahli Majlis dan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) daripada gabungan itu akan melepaskan jawatan masing-masing berkuat kuasa pada 31 Julai bagi memastikan proses peralihan berjalan lancar.
Gabungan itu turut merakamkan penghargaan kepada Ketua Menteri, Kerajaan Negeri serta penjawat awam atas kerjasama yang diberikan sepanjang mereka berada dalam pentadbiran negeri.
Menurut kenyataan itu, semua ADUN PH akan terus menjalankan tanggungjawab sebagai wakil rakyat dan berkhidmat kepada masyarakat tanpa mengira fahaman politik sehingga tamat tempoh mandat.
Keputusan tersebut dibuat susulan kelulusan Rang Undang-Undang Pindaan Perlembagaan Negeri Melaka berkaitan pelantikan ADUN lantikan pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selasa lalu yang mendapat bantahan daripada lima wakil rakyat PH.




