Skechers sasar buka 11 lokasi baharu

MALAYSIA muncul pasaran pasaran terbesar Skechers di Asia Tenggara, dengan kira-kira 11 lokasi baharu disasarkan untuk dibuka menjelang akhir tahun ini.

Pengarah Urusan Skechers Asia Tenggara, Zann Lee berkata, pertumbuhan itu disokong oleh landskap runcit yang kukuh serta peningkatan minat pengguna terhadap gaya hidup sihat dan aktif.

“Melihat potensi yang masih ada, kami akan terus memperluaskan kehadiran melalui pembukaan kedai berskala lebih besar. Kami bukan sekadar mahu menambah jumlah lokasi, tetapi mahu menawarkan pengalaman runcit berbeza dan lebih menyeluruh kepada pelanggan,” katanya.

Antara pendekatan itu ialah pembukaan kedai eksklusif di Klebang, Melaka pada Mei lalu, manakala sebuah premis baharu berkeluasan 20,000 kaki persegi di Bandar Seri Coalfields, Sungai Buloh dijadualkan dibuka pada September ini dengan kemudahan termasuk gelanggang pickleball dalaman, gimnasium dan bilik yoga.

Ketika ini, Skechers mempunyai kira-kira 120 kedai di seluruh negara, selain merancang pembukaan di Merdeka 118 pada 1 November depan, selain Pulau Pinang serta Ipoh dalam tempoh dua tahun akan datang.

Katanya, Sabah dan Sarawak turut menjadi antara fokus pengembangan dengan Skechers kini mempunyai empat kedai di Sabah dan enam di Sarawak, selain melihat peluang untuk memperluaskan kehadiran di bandar seperti Kuching dan Miri.

Sementara itu, peningkatan aktiviti larian dan perkembangan komuniti itu turut menyumbang kepada pertumbuhan kategori performance dengan Skechers Running Club Malaysia bekerjasama dengan komuniti Wind Runners menerusi sesi latihan bersama, larian jarak jauh dan bengkel kecergasan.

Sementara itu, Pengurus Besar Kanan Skechers Malaysia, Stephanie Chang berkata, teknologi seperti Arch Fit, Max Cushioning dan Hands Free Slip-ins menjadi antara kekuatan utama jenama itu, dengan kategori performance mencatat pertumbuhan jualan dua angka tahun ke tahun.

“Keunikan kami terletak pada teknologi keselesaan. Pengguna di Malaysia biasanya mahukan kasut yang versatil kerana satu pasang kasut boleh digunakan untuk pelbagai keperluan, sama ada ke pejabat, berjalan, bersenam atau melakukan aktiviti seperti larian,” katanya ketika ditemui pada majlis pembukaan Sunway Pyramid Superstore baru-baru ini.

Pembukaan Sunway Pyramid Superstore pula mencerminkan strategi syarikat memperkukuh pengalaman pengguna menerusi kedai lebih besar dan pilihan produk lebih menyeluruh.

Kedai berkeluasan kira-kira 8,650 kaki persegi itu menawarkan kategori Walking, Running, Pickleball, Trail, Kids dan Performance Apparel, selain teknologi SafeSize dan DIY Customisation Corner.

Skechers turut memperkukuh strategi pemasaran menerusi pelantikan anggota SEVENTEEN iaitu DK, Seungkwan dan Dino sebagai duta jenama serantau, selari dengan matlamat jangka panjangnya untuk menjadi antara jenama kasut paling dipercayai di Asia Tenggara.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top