Tuchel perlu bina semula kepercayaan England selepas tersingkir?

Tuchel perlu bina semula kepercayaan England selepas tersingkir?

Washington: Thomas Tuchel sudah mengalihkan tumpuan ke Kejuaraan Eropah 2028 yang bakal berlangsung di bumi England, namun persoalan lebih besar kini timbul sama ada beliau perlu membina semula kepercayaan pemain selepas kegagalan di Piala Dunia 2026.

Pengendali England itu menerima kritikan hebat susulan keputusan membuat pertukaran pemain yang lebih bertahan ketika tewas 1-2 kepada Argentina pada separuh akhir di Atlanta, Rabu.

Tuchel dituduh menyerahkan penguasaan permainan kepada Lionel Messi dan rakan sepasukannya selepas England mendahului menerusi Anthony Gordon sebelum dibolosi jaringan lewat Enzo Fernandez dan Lautaro Martinez.

Kekalahan itu memusnahkan impian England untuk beraksi di final Piala Dunia buat kali pertama sejak 1966.

Tuchel, yang dilantik untuk membawa perubahan berani dalam detik-detik penting, dilihat gagal membuat keputusan tepat apabila England tunduk kepada tekanan berterusan juara bertahan itu.

Pertahanan, Marc Guehi percaya England sepatutnya terus menyerang selepas memperoleh gol pendahuluan.

“Kami sepatutnya terus menekan. Rasanya selepas menjaringkan gol, mentaliti kami berubah kepada bertahan,” katanya.

Kapten, Harry Kane turut mengakui pendekatan England berubah, namun enggan menyalahkan Tuchel secara terbuka.

Sebaliknya, bekas pemain dan pemerhati bola sepak lebih lantang mengkritik taktikal jurulatih dari Jerman itu.

Bekas kapten England, Wayne Rooney, menyifatkan The Three Lions terlalu pasif manakala bekas penyerang England, Chris Sutton melabelkan pendekatan Tuchel sebagai “malapetaka”.

“Dia terlalu negatif. Persoalannya sekarang ialah bagaimana pemain mahu terus mempercayai Thomas Tuchel untuk membawa pasukan ini ke hadapan?” kata Sutton.

Walaupun menerima kritikan, Tuchel difahamkan masih mendapat sokongan penuh Persatuan Bolasepak England (FA), yang melantiknya pada Oktober 2024 bagi menggantikan Gareth Southgate.

Ketua Pegawai Eksekutif FA, Mark Bullingham, berkata seluruh pasukan sudah memberikan segala-galanya sepanjang kejohanan.

“Memang amat menyedihkan apabila kami begitu hampir untuk ke final.

“Pemain, Thomas serta seluruh barisan kejurulatihan dan kakitangan sudah bekerja sehabis baik sepanjang kejohanan.

“Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada penyokong England yang luar biasa di Amerika Syarikat dan di tanah air atas sokongan mereka,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top