firdaushashim@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Persatuan Bolasepak Melayu Malaysia (PBMM) melakar satu lagi sejarah apabila menganjurkan Piala TYT Tun Seri Setia Dr Haji Mohd Ali Mohd Rustam 2026 buat pertama kali, yang berlangsung di Stadium Antarabangsa Jakarta bermula semalam hingga esok.
Kejohanan jemputan tiga penjuru itu menghimpunkan tiga pasukan veteran berprestij iaitu Veteran Melayu Malaysia selaku wakil PBMM, Persija Oldstars Indonesia dan Aceh United Veterans dari Indonesia, sekali gus menjadi platform memperkukuhkan hubungan sukan serantau menerusi semangat persahabatan dan perpaduan.
Penganjuran sulung kejohanan ini dilihat sebagai satu inisiatif PBMM dalam memperluaskan jaringan kerjasama bola sepak veteran di peringkat Asean, selain mengangkat sukan sebagai medium penyatuan masyarakat serumpun.
Selain mengeratkan hubungan silaturahim antara komuniti bola sepak Malaysia dan Indonesia, kejohanan ini turut memperkukuhkan kerjasama strategik serta pertukaran pengalaman antara persatuan dan kelab bola sepak veteran.
Malah, ia turut dapat mempromosikan semangat kesukanan, perpaduan dan warisan Nusantara, sekali gus memperkukuhkan hubungan budaya melalui sukan.
Kejohanan ini dijangka menyajikan aksi kompetitif dalam suasana penuh semangat persahabatan apabila ketiga-tiga pasukan menampilkan bekas pemain berpengalaman yang pernah mewarnai arena bola sepak negara masing-masing.
Dengan slogan “Satu Warisan, Satu Semangat, Satu Nusantara”, saingan jemputan ini diharap menjadi acara tahunan yang mampu mengukuhkan hubungan serantau.
© New Straits Times Press (M) Bhd




