JAKARTA – Menteri Pekerjaan Umum Indonesia, Dody Hanggodo menjadi perhatian ramai selepas video lawatan kerjanya tular di media sosial.
Memetik portal aktual.com, video tersebut mencetuskan perdebatan dalam kalangan warga maya, termasuk dakwaan penggunaan jet peribadi serta insiden apabila salaman tangan petugas bawahan tidak disambut oleh beliau.
Menerusi rakaman berdurasi 15 saat itu, Dody dilihat turun dari sebuah pesawat yang didakwa digunakan bagi tujuan lawatan kerja.
Bagaimanapun, perhatian orang ramai lebih tertumpu kepada interaksi yang berlaku sejurus menteri itu turun daripada pesawat.
Rakaman tersebut menunjukkan individu yang berada berhampiran Dody menghulurkan tangan untuk bersalaman, namun beliau dilihat meneruskan langkahnya dan mengabaikan pemuda berkenaan.
Sebaliknya, memilih untuk bersalaman dengan individu di sebelah pemuda tersebut.
Klip pendek itu kemudian menjadi tular dan mengundang pelbagai reaksi dalam kalangan netizen.
Sebahagian pengguna media sosial berpendapat bahawa tindakan tersebut dilihat kurang responsif terhadap sapaan yang diberikan.
Selain menyorot insiden bersalaman itu, segelintirnya turut mempersoalkan penggunaan jet peribadi dalam lawatan kerja berkenaan.
Mereka mengaitkannya dengan komitmen kerajaan di bawah pimpinan Presiden Indonesia, Prabowo Subianto yang sejak kebelakangan ini giat menekankan usaha penjimatan dan kecekapan perbelanjaan.
Di ruangan komen, ramai beranggapan seorang pegawai awam sepatutnya menunjukkan sikap lebih terbuka dan mesra setiap kali bertemu masyarakat atau pihak yang menyambut ketibaannya.
Sehingga berita ini ditulis, Kementerian Pekerjaan Umum mahupun Dody Hanggodo masih belum mengeluarkan sebarang penjelasan rasmi berhubung konteks video tular termasuk dakwaan penggunaan pesawat serta insiden salam tangan tidak bersambut itu.



