Tindakan UMNO menarik sokongan terhadap pentadbiran kerajaan negeri disifatkan sebagai langkah berani yang membuka peluang kepada rakyat membuat pilihan baharu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan.
Berani tarik sokongan

Memetik laporan Berita Harian, Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man menzahirkan penghargaan kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) UMNO atas keputusan tersebut.
“Saya nak ucap terima kasih kepada UMNO kerana mengisytiharkan tarik sokongan di Negeri Sembilan menyebabkan rakyat di Negeri Sembilan boleh memilih pada pilihan raya kali ini.
“Tindakan ini satu tindakan berani kerana sudah bosan dengan tindakan PH (Pakatan Harapan) mentadbir mengurus Negeri Sembilan,” katanya ketika berucap pada Majlis Pengisytiharan Calon PN bagi PRN Negeri Sembilan, malam tadi.
Menurut beliau, perkembangan itu turut diyakini menjadi pemangkin kepada kebangkitan ‘gelombang hijau’ di Negeri Sembilan bermula pada PRN kali ini.
Dalam pada itu, Tuan Ibrahim mendakwa usaha DAP yang terus memainkan naratif ‘gelombang hijau’ bagi menimbulkan kebimbangan dalam kalangan pengundi Cina sepanjang kempen pilihan raya akhirnya memakan diri.
Beliau berkata, pendekatan sama telah digunakan dalam beberapa pilihan raya sebelum ini, namun mendakwa ia gagal memberi kesan seperti yang diharapkan.
“Kita tahu bagaimana DAP cuba menakut-nakutkan pengundi Cina khususnya dengan gambaran ‘Green Wave’ atau gelombang hijau yang dikatakan mengancam kestabilan dan keharmonian.
“Sejarah membuktikan, semakin kuat mereka menakut-nakutkan pengundi Cina, semakin kuat mereka ditolak oleh pengundi itu,” ujarnya.
Tuan Ibrahim turut mendakwa DAP semakin kehilangan sokongan, termasuk di Sabah dan Johor, malah beliau yakin trend sama akan berlaku pada PRN Negeri Sembilan.
Menurutnya, rakyat kini lebih mudah memperoleh pelbagai sumber maklumat dan mampu membuat penilaian sendiri tanpa mudah dipengaruhi dakwaan yang tidak berasas.
Artikel lain: PAS ibarat lilin yang menerangi perjalanan demi UMNO di Johor -Hadi Awang
Sementara itu, beliau berkata gabungan PN-BN akan melengkapkan teka-teki berhubung kerusi yang tidak ditandingi Barisan Nasional (BN).
“PRN ini sebagai satu mukadimah penting, satu alignment baharu politik Malaysia. BN umum 25 DUN, tapi ‘puzzle’ itu tidak lengkap dan kita lengkapkan dengan umumkan calon di 11 DUN,” tambahnya lagi.
Sumber: Berita Harian (Ahmad Hasbi)




