Kerjasama antara Perikatan Nasional (PN) dan Barisan Nasional (BN) berkemungkinan diteruskan pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-16 sekiranya gabungan tersebut mencatatkan keputusan memberangsangkan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan.
Foto: Harian Metro
Memetik laporan Berita Harian, Pengerusi PN, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, pihaknya akan membuat penilaian terhadap keberkesanan kerjasama berkenaan bagi mengenal pasti ruang penambahbaikan sebelum menghadapi pilihan raya akan datang.
Menurut beliau, setiap pengalaman dalam pilihan raya perlu dijadikan panduan untuk memperkukuhkan strategi serta meningkatkan peluang kemenangan pada masa depan.
“Sudah tentu apabila kita berdepan dalam sesuatu pilihan raya, kita perlu sentiasa melakukan penambahbaikan dan jika keputusan yang mampu kita capai dalam PRN Negeri Sembilan ini baik, kita akan tambah baik lagi.
“Ini penting supaya pada pilihan raya yang berikutnya kita memperoleh keputusan yang lebih baik,” katanya kepada media selepas Majlis Pengumuman Calon PN Negeri Sembilan di Markas PAS Kampung Ismail, malam tadi.

Ahmad Samsuri yang juga Naib Presiden PAS berkata, kerjasama politik baharu yang dibentuk itu diyakini mampu mewujudkan kestabilan lebih baik selain membawa perubahan kepada landskap politik negara.
Beliau turut memaklumkan tidak menolak kemungkinan manifesto PN bagi PRN Negeri Sembilan akan dirangka bersama BN sebagai sebahagian daripada bentuk kerjasama antara kedua-dua gabungan.
“Malahan jentera bagi kedua-dua gabungan juga akan saling bekerjasama bagi menyatuni seramai mungkin pengundi. Cara berkempen yang baharu akan dapat dilihat sepanjang tempoh kempen, namun saya tidak boleh sebut lebih awal.
“Tapi ini adalah satu langkah yang amat penting terutama bukan saja kepada pengundi Melayu bahkan pengundi pelbagai kaum,” jelasnya.
Sementara itu, Ahmad Samsuri berkata, pemilihan calon lama dan muka baharu daripada pelbagai latar belakang serta pengalaman dalam pentadbiran diyakini mampu meningkatkan keyakinan rakyat terhadap PN.
Artikel lain: Sudah dijangka! Loke tak terkejut strategi BN-PN, yakin kekuatan sendiri di PRN N. Sembilan
Katanya, kepelbagaian calon yang diketengahkan itu dapat memberi nilai tambah sekiranya gabungan berkenaan diberi mandat untuk membentuk kerajaan negeri.
“Ini dapat memberikan kepelbagaian apabila kita menjadi kerajaan di Negeri Sembilan nanti,” katanya sambil menegaskan keputusan pemilihan calon dibuat oleh pimpinan parti dalam gabungan berkenaan.
Sumber: Berita Harian (Mohd Amin Jalil)




