Bekalan sayur Cameron Highlands tidak terjejas

Bekalan sayur Cameron Highlands tidak terjejas

bhnews@bh.com.my

PUTRAJAYA: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) akan mengambil langkah segera bagi memastikan bekalan sayur dari Cameron Highlands tidak terjejas meskipun Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat (PKPD) dilaksanakan di kawasan berkenaan.

Menurut kenyataan media kementerian itu, KPDNHEP hari ini sudah mengadakan sesi libat urus bersama Kementerian Pertanian dan Industri Makanan, Persatuan Peladang Sayur Cameron Highlands, Majlis Keselamatan Negeri (MKN) Pahang, Pejabat Daerah Cameron Highlands, Jabatan Kesihatan Pahang, wakil pemborong dan beberapa agensi kerajaan lain bagi memastikan bekalan sayur dari Cameron Highlands tidak terjejas meskipun PKPD dikenakan di kawasan Kampung Raja.

Katanya, sesi libat urus itu bertujuan membantu pengurusan tanaman ladang serta proses membawa keluar hasil pertanian dapat berjalan seperti biasa.

Kenyataan itu juga berkata, sesi libat urus terbabit turut mengusulkan suntikan vaksin COVID-19 diberikan kepada peladang dan pekerja mereka secepat mungkin.

“Ketika ini, antara 30 hingga 40 peratus bekalan sayur dari Cameron Highlands dihasilkan dari ladang di Kampung Raja.

“Peratusan ini tidak menjejaskan rantaian bekalan sayur di pasaran keseluruhannya dan KPDNHEP dimaklumkan semua kawasan tanaman sayur selain Kampung Raja beroperasi seperti biasa,” katanya hari ini.

Pada masa sama, kenyataan itu berkata, pihak polis juga memaklumkan pergerakan lori untuk membawa keluar sayur dari Cameron Highlands dibenarkan manakala ladang sayur di kawasan Lojing dibenarkan beroperasi sepenuhnya tanpa isu pengangkutan dan pengedaran.

Selain itu, Pegawai Penguat kuasa KPDNHEP di seluruh negara juga akan terus menjalankan pemantauan terhadap bekalan dan harga sayur-sayuran di pasaran.

Penguatkuasaan mengikut Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP) 2011 akan dilaksanakan sekiranya terdapat mana-mana pihak yang sengaja mengambil keuntungan secara tidak munasabah atau mencatut.

“KPDNHEP juga menasihatkan pengguna untuk tidak membuat pembelian panik kerana bekalan sayur adalah stabil dan mencukupi.

“Orang ramai juga boleh membuat aduan berkaitan salah laku peniaga yang melanggar undang-undang melalui pelbagai saluran aduan yang disediakan oleh kementerian ini,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top