puterialia@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Penyanyi dan komposer, Cat Farish, 52, menzahirkan rasa syukur tidak terhingga apabila isterinya Shikin Maembong, 41, kini tampil berhijab.
Menyifatkan penghijrahan itu sebagai hadiah terindah sempena hari lahirnya dan ulang tahun ketiga perkahwinan mereka, Cat atau nama sebenarnya Farish Ramli, berkata, dia tidak pernah memaksa isterinya untuk memakai tudung.
“Perasaan saya memang sangat gembira sebab saya tak pernah paksa Shikin untuk pakai tudung.
“Tetapi bila dia sudah mula pakai tudung itu, Alhamdulillah saya bersyukur. Ini adalah hadiah hari jadi dan ulang tahun perkahwinan yang paling ‘best’,” katanya kepada Harian Metro.
Bercerita lanjut mengenai keputusan isterinya untuk berhijab, Cat berkata, isterinya sebenarnya sudah lama berniat untuk berhijab atas kerelaan hati.
“Sebenarnya dia sudah cakap (berniat) lama dah. Saya pun ada juga beri ‘hint’ dekat Shikin untuk beli baju yang memudahkan dia apabila berhijab nanti, jadi tak perlu nak cari baju banyak-banyak.
“Sediakan dari sekarang supaya daripada pembelian baju itu dah memang boleh terus berhijab. Kadang-kadang, dia pakai baju saya.
“Nak dijadikan cerita, sempena hari jadi saya, dia ada tugasan kerja yang memerlukan dia memakai tudung dan bermula dari hari itu, dia sudah pakai tudung sampai ke hari ini,” katanya.
Menyentuh mengenai cabaran dalam mengekalkan istiqamah untuk berhijab, Cat sedar wanita yang baru berhijab pasti akan melalui fasa turun naik, terutamanya apabila membabitkan soal penampilan.
“Memang perempuan yang pakai tudung ini akan ada masa ‘down’ bila rasa pemakaian itu macam tak cukup (sesuai). Jadi, ini memang usaha si suami untuk merancang dan mencantikkan lagi isteri kita bila mereka berhijab.
“Saya memang mengharapkan tudung itu akan melekat sampai bila-bila, lagipun dia sendiri sudah niat lama. Alhamdulillah, saya sangat gembira,” ujarnya.
Terdahulu, Shikin memuat naik gambar yang menunjukkan dirinya berhijab di Threads, baru-baru ini.
“Hadiah hari jadi suami. Agak-agak abang cat farish suka tak? Bismillah,” tulisnya di ruangan kapsyen.
Perkongsian berkenaan rata-rata memberi reaksi positif daripada orang ramai yang mendoakan agar dia terus istiqamah dalam berhijab.
© New Straits Times Press (M) Bhd




